BEAUFORT: Perbuatan terkutuk seorang lelaki berusia 56 tahun yang dipercayai merogol wanita orang kurang upaya (OKU) akhirnya berjaya dikesan setelah mangsa melaporkan perbuatan tersebut kepada ibunya.
Lelaki berkenaan ditahan di Kampung Banting Meraba semalam setelah ibu mangsa melaporkan insiden itu kepada polis.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, lelaki tersebut dipercayai merogol mangsa berusia 24 tahun itu sekurang-kurangnya lima kali dan terbaru pada 17 Mei lalu.
Beliau berkata, suspek turut didakwa mencabul mangsa selama beberapa kali sebelum ini dan suspek kemudian memberi amaran akan memarahi mangsa sekiranya mendedahkan tentang kejadian berkenaan.
Katanya, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan selanjutnya.
“Mangsa pula telah dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas bagi siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, mangsa mengalami masalah pertuturan dan sukar menerangkan kejadian yang berlaku terhadapnya.
Yusoff Zaki berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.- UTUSAN ONLINE