LUMUT: Seorang pembantu kebun sayur dihukum penjara 18 bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung selepas mengaku bersalah menculik seorang kanak-kanak perempuan di Seri Manjung, lima hari lalu.
Muhammad Faizzuan Zulkifli, 24, juga berdepan hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh didakwa menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun daripada penjagaan ibu kandungnya yang sah yang berusia 37 tahun di hadapan premis My Pet Zone, Seri Manjung, kira-kira pukul 11.30 pagi pada 20 Mei lalu.
Muhammad Faizzuan didakwa di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dibaca di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil dan tertuduh pula diwakili peguam Khoo Kok Tong.
Mengikut fakta kes, pengadu iaitu ibu kanak-kanak itu berada dalam premis My Pet Zone kira-kira 15 minit sebelum menghantar pesanan menggunakan WhatsApp kepada anaknya yang berada dalam kereta Perodua Bezza, tetapi tidak berjawab.
Wanita itu kemudian keluar dari kedai dan mendapati keretanya tiada di parkir sebelum melihat kereta tersebut dipandu tertuduh tidak jauh dari situ dan cuba menghalangnya tetapi tertuduh memecut laju kenderaan tersebut.
Pekerja premis itu kemudian segera menghubungi pihak polis dan tidak lama kemudian tertuduh kembali ke tempat parkir premis tersebut sebelum ditangkap oleh orang ramai.
Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh memohon agar diberi peluang dengan hukuman ringan memandangkan ia adalah kesalahan pertamanya di bawah pertuduhan tersebut.
Khazrin Haffiz bagaimanapun memohon hukuman berat kerana kejadian itu memberi impak psikologi kepada kanak-kanak terlibat.