KEPALA BATAS: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini menerusi penahanan seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan di Jalan Bertam Perdana, di sini kelmarin.
Penahanan suspek kira-kira pukul 6 petang itu membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah kedai di Taman Bukit Minyak, Bukit Mertajam dekat sini yang mana polis berjaya menemukan sejumlah dadah dan sepucuk pistol.
Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, pihaknya merampas dadah jenis syabu seberat 97.1 kilogram dan 100 gram dadah jenis heroin yang keseluruhannya bernilai RM3.5 juta dalam serbuan berkenaan.
Selain itu jelasnya, turut dirampas sepucuk pistol jenama Beretta USA Corp bersama dua kelopak mengandungi 15 butir peluru hidup jenama Luger 9mm.
“Kita juga merampas pelbagai cecair kimia serta peralatan dan mesin membungkus dadah yang ditemukan di dalam premis itu.
“Siasatan mendapati sindiket ini bergiat aktif sejak Januari lalu dan dadah itu adalah untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sahabudin berkata, siasatan lanjut polis mendapati lelaki yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau itu negatif ujian saringan air kencing.
Bagaimanapun ujarnya, suspek turut disiasat berhubung kes melarikan orang di Butterworth, dekat sini dalam kejadian 1 Mei lalu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan. – UTUSAN