SEREMBAN: Walaupun sambutan Aidilfitri kali ini masih dibayangi dengan penularan Covid-19 dan penguatkuasaan larangan rentas negeri, namun seorang pengusaha songkok di daerah ini masih mampu menerima kira-kira 1,000 tempahan dari seluruh negara.
Roslan Salbaini, 60, berkata, dia mula berniaga sejak 45 tahun dahulu mewarisi legasi pembuatan songkok oleh arwah bapanya, Sarbaini Jamil yang mengusahakan pembuatan songkok secara tradisional sejak tahun 1936.
“Ketika itu, saya berusia 15 tahun dan sudah mengetahui cara membuat songkok warisan ini yang saya pelajari dengan arwah ayah saya di kedainya di Jalan Yam Tuan, Seremban. Di situ saya bermula belajar membuat pola dan membantu dia memotong kain sehingga boleh menjahit songkok jenis baldu benang.
“Alhamdullilah pada kali ini, sambutan yang agak memberangsangkan sehingga saya tidak cukup tidur. Saya menerima sebanyak 1,000 songkok menjelang hari lebaran kali ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kios Songkok Warisan Keluarga Sarbaini Jamil di sebuah pasar raya di Nilai dekat sini semalam.
Menurut Roslan, dia menjual pelbagai jenis songkok baldu, songkok lipat, songkok kerawang emas, songkok batik, dan tarbus sempena Aidilfitri.
“Kebanyakan pelanggan adalah pelanggan tetap dari seluruh Malaysia. Jika sebelum ini, saya berniaga di hari kraftangan dan ekspo hari raya namun, kali ini saya hanya membuka kiosk di sini bagi membolehkan pelanggan membeli songkok,” katanya. – UTUSAN ONLINE