Lebih 1,000 penduduk diarah keluar - Utusan Malaysia

Lebih 1,000 penduduk diarah keluar

ANDREW (tengah) bersama anggota Jawatankuasa biro badan bertindak penghuni rumah pangsa di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Lebih 1,000 orang penduduk Rumah Pangsa Tanjung Aru berada dalam dilema apabila diarahkan berpindah ketika kes Covid-19 sedang mencanak naik.

Arahan berpindah secepat mungkin yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah itu menyebabkan penduduk merasa begitu tersepit kerana ramai yang kehilangan sumber pendapatan pada masa sekarang.

Abu Bakar Yahya, 63, berkata, beliau sudah menetap di rumah program perumahan rakyat (PPR) tertua di Sabah itu sejak lebih 20 tahun lalu dan arahan berpindah yang dikeluarkan pada 24 Mei ini begitu mengejutkan.

Bekas kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ini berkata, tiada sesi dialog mahupun perbincangan diadakan bersama penduduk yang tinggal di sini sebelum notis makluman tersebut dikeluarkan.

ABU BAKAR YAHYA

“Tindakan LPPB ini seperti bersikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab. Sekiranya mereka mengarahkan kami berpindah secara serta-merta, sekurang-kurangnya berilah kami tempat penginapan baharu dan bukannya meminta kami berpindah keluar dengan sewenang-wenangnya.

“Kami faham rumah ini milik LPPB tapi, penduduk rumah pangsa ini sudah tinggal di sini berpuluh-puluh tahun jadi, bertimbang rasa sedikit dan bantulah kami berpindah ke penempatan baharu,” katanya ketika ditemui di Rumah Pangsa Tanjung Aru hari ini.

Sementara itu, ahli jawatankuasa biro badan bertindak penghuni rumah pangsa, Andrew Wong berkata, penduduk rumah pangsa bersedia untuk berpindah sekiranya kerajaan melalui LPPB menyediakan penempatan baharu untuk semua penduduk.

“Kami faham LPPB berdepan kekangan kewangan tapi, selagi kami masih tinggal di sini diharap kerja-kerja penyelenggaraan masih boleh dilakukan.

“Malah, sejak 15 tahun lalu biarpun kami membayar yuran penyelenggaraan namun, tiada kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan oleh pengurusan LPPB. Penduduk terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri,” katanya.

Menurutnya, penduduk diarahkan berpindah atas alasan struktur bangunan ini tidak lagi selama untuk diduduki namun, jika dilihat keadaan semasa bangunan yang ada masih boleh diduduki bagi tempoh tiga hingga lima tahun lagi.

Semalam, Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah berkata, penduduk rumah pangsa di situ diberikan tempoh sehingga hujung tahun ini untuk berpindah.

Katanya, struktur bangunan rumah pangsa itu tidak selamat diduduki, lantai mula mengalami keretakan dan atap juga sering mengalami kebocoran.

Kerjasama penghuni amat diharapkan untuk berpindah kerana LPPB juga berdepan kekangan kewangan berikutan tiada peruntukan daripada kerajaan persekutuan dan negeri bagi memperbaiki kerosakan sedia ada.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya