Lapan anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf ditangkap di Sabah - Utusan Malaysia

Lapan anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf ditangkap di Sabah

HAZANI Ghazali (kanan) bersama Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman menunjukkan senarai anggota Kumpulan Abu Sayyaf yang ditangkap dalam operasi khas pada Sabtu dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menangkap lapan anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf termasuk dua orang subketua yang tersenarai sebagai orang yang dikehendaki oleh kerajaan Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, lapan anggota kumpulan itu antara 37 orang warga Filipina yang ditangkap di kawasan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort dalam satu operasi khas pada 8 Mei lalu.

Katanya, dalam operasi yang dijalankan dengan perkongsian maklumat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan pasukan keselamatan Filipina itu, 21 kanak-kanak turut ditangkap. 

“Kesemua kanak-kanak yang ditangkap dipercayai dilatih menjadi kumpulan pelampau ISIS sejak usia muda berdasarkan simbol satu yang ditunjukkan ketika bergambar,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di siniS hari ini. 

Beliau berkata, anggota kumpulan itu dipercayai sudah bersembunyi di kawasan paya tersebut sejak lebih setahun lalu berdasarkan keadaan tempat tinggal mereka.

“Dengan tangkapan ini, kita juga akan menyemak semula jika wujud sel pelampau baiah ISIS/Daesh dan kumpulan Abu Sayyaf di Sabah.

“Semasa operasi tiada senjata dirampas namun, kita percaya sepanjang pergerakan dari Filipina ke Sabah mereka memang ada membawa senjata api dan kita mahu tahu di mana ia disembunyikan,” katanya.

Hazani berkata, polis Sabah juga masih mengesan  tali barut mereka di Sabah yang dipercayai melarikan diri ke Sabah susulan gerakan operasi agresif yang dilakukan pasukan keselamatan Filipina pada 2020.

Kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula 9 hingga 12 Mei dan mereka akan disiasat mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Mengulas lanjut, sejak 2014 hingga 2020, polis Sabah dengan bantuan Cawangan Khas Bukit Aman berjaya menangkap 83 pengganas dan kebanyakan mereka ditangkap ketika bersembunyi di pedalaman pantai barat Sabah.

“Hanya ada dua kes iaitu di Semporna dan Sandakan, selebihnya semua berada di kawasan pedalaman. Mungkin sebelah pantai timur ada pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) jadi mereka memilih untuk bersembunyi di pedalaman dan pantai barat. 

“Kita tidak menafikan memang ada yang bersembunyi di pantai timur namun apa yang sah adalah mereka menggunakan pantai timur sebagai laluan untuk keluar dan masuk ke Sabah. Ini akan diperincikan semula untuk mengenal pasti laluan yang diguna pakai untuk penyeludupan atau pemerdagangan manusia,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya