SANDAKAN: Sub ketua Kumpulan Abu Sayyaf serta tujuh anggota kumpulan pengganas yang ditangkap di Beaufort pada 8 Mei lalu diserahkan kepada pasukan keselamatan Filipina hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, lapan anggota kumpulan Abu Sayyaf (ASG) itu diserahkan kepada pasukan keselamatan Filipina melalui Jabatan Imigresen Sabah di perairan sempadan Malaysia-Filipina.
Proses penyerahan lapan anggota kumpulan militan itu diwakili Ketua Penguatkuasa Imigresen Sandakan, Muhammad Isa Hasley kepada Western Mindanao Command dan Joint Task Force Sulu diwakili Briged Jeneral Arturo G Rojas.
“Penyerahan ini dilaksanakan pada 8.30 pagi tadi menggunakan kuasa di bawah Seksyen 3 (2) 1 Akta Imigresen 1959/63.
“Kita keluarkan mereka dari Malaysia dan salah seorang daripada mereka adalah sub ketua ASG yang berada dalam senarai dikehendaki pasukan keselamatan Filipina.
“Hasil siasatan mendapati seorang daripada mereka mengaku terlibat dalam beberapa sisi penculikan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE),” katanya selepas penyerahan lapan anggota militan itu di sini hari ini.
Anggota yang ditahan pada 8 Mei lalu dikenali sebagai Munimar Binda, Sansis Mohammad, Sanibar Siuh, Firdaus Omar, Ladin Mujahirin Faizal, Hamzah Faizal, Halim Akhir dan Yusuf Akram.
Lapan anggota militan itu antara 37 orang warga Filipina yang ditahan oleh polis bersama pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam operasi khas di kawasan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort.
Susulan tangkapan itu, polis berjaya menembak mati lima lagi anggota kumpulan militan ASG itu dalam operasi bersepadu khas di lokasi sama kira-kira 11.27 pagi pada 17 Mei lalu.
Dalam pada itu, Hazani memberi jaminan pasukan keselamatan akan sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan dan risikan di Sabah bagi mengesan sekiranya masih ada saki-baki anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf di negeri ini.
Katanya, sejak 2014 hingga 2020 seramai 83 anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf ditahan dan kebanyakannya di kawasan pedalaman di Pantai Barat Sabah. -UTUSAN ONLINE