PETALING JAYA : Lapan individu termasuk lima wanita dipanggil polis untuk dirakam percakapan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika merayakan sambutan Hari Raya di sebuah kediaman di Kampung Baru, Batu Caves dekat sini pada Khamis lalu.
Siasatan itu dijalankan sebaik pihaknya mengesan satu rakaman video berhubung kejadian itu yang dimuat naik seorang pemilik akaun Instagram, kira-kira pukul 3.45 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, rakaman video berdurasi 16 saat itu memaparkan suasana sambutan Hari Raya di kediaman berkenaan dan siasatan mendapati rakaman itu dibuat pada Khamis lalu kira-kira jam 3 petang iaitu pada sambutan Hari Raya pertama.
“Perakam video adalah menantu kepada pemilik rumah dan di dalam video itu kelihatan beberapa tetamu sedang berada di dalam dan perkarangan rumah.
“Semakan juga mendapati kesemua tetamu yang berada di dalam rumah itu adalah daripada kalangan ahli keluarga suami suspek (perakam),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, siasatan turut mendapati ahli keluarga suami suspek juga tinggal di sebuah rumah berasingan yang jaraknya lebih kurang 20 meter daripada kediaman itu yang turut berkunjung ke rumah suspek pada hari kejadian.
“Susulan itu, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Peraturan 17 PPPDPB 2021 (Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021).
“Pada peringkat ini, kita sudah memanggil lapan individu terdiri daripada tiga lelaki dan lima wanita berusia antara 18 hingga 55 tahun untuk membantu siasatan,” jelasnya.
Terdahulu tular dalam media sosial satu rakaman video yang dimuat naik menerusi platform Instagram Story oleh pemilik akaun Instagram menggunakan nama ‘delinmnasir’ menunjukkan suasana sambutan Hari Raya di sebuah kediaman.
Menerusi video dirakam wanita itu kelihatan beberapa lelaki dan wanita dewasa serta kanak-kanak berada di ruang meja makan, ruang tamu, menonton televisyen selain sekumpulan individu lain sedang menikmati juadah di meja makan yang terdapat di ruang hadapan kediaman itu.
SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk sambutan Hari Raya yang dikeluarkan pada 11 Mei lalu menetapkan tiada sebarang aktiviti sambutan Hari Raya dibenarkan termasuk ziarah Hari Raya, ziarah tanah perkuburan dan rumah terbuka atau jamuan Hari Raya.- UTUSAN ONLINE