PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) tempoh kuarantin wajib kepada 21 hari ke atas pengembara tiba di negara ini susulan situasi wabak Covid-19 di seluruh dunia akibat penularan varian yang dibimbangi (VOC) dalam komuniti.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka perlu melakukan ujian pengesanan RT-PCR iaitu tiga hari sebelum berlepas dan hanya keputusan negatif boleh menaiki penerbangan ke Malaysia.
Sejurus sampai di negara ini, kata beliau, semua pengembara terbabit perlu sekali lagi menjalani ujian pengesanan RT-PCR semasa ketibaan di setiap pintu masuk antarabangsa dan seterusnya menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin ditetapkan kerajaan selama tempoh 21 hari berbanding 14 hari sebelum ini.
“Peraturan SOP itu meliputi rakyat Malaysia dan pengembara bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia dari Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri menambah, arahan wajib sama itu turut dikekalkan terhadap rakyat Malaysia dan pengembara bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke negara ini dari India.
“Tempoh kuarantin mandatori itu bagi pengembara dari negara lain turut dilanjutkan daripada 10 hari kepada 14 hari dan mesti dikuarantin di stesen yang diarahkan kerajaan,” tegasnya.
Bagaimanapun ujarnya, tempoh itu boleh disambungkan lagi sehingga 21 hari jika terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko yang dilaksanakan pada hari kuarantin ke-14.
Tambahan, tujuh hari kuarantin wajib itu kata beliau, akan dilakukan di stesen yang sama dan arahan pelaksanaan semua peraturan baharu tersebut berkuat kuasa serta merta.
SOP ujian ulangan RT-PCR akan dijalankan pada hari ke-10 dan sekiranya dilanjutkan tempoh kuarantin sehingga 21 hari, ujian ulangan tersebut akan dibuat lagi pada hari ke-18 pula. -UTUSAN ONLINE