JELI: Kira-kira 50 pekebun tembikai di Kampung Kuala Balah di sini terpaksa menjual hasil tuaian mereka pada harga 80 sen sekilogram, kurang sekali ganda berbanding RM1.50 hingga RM1.60 harga semasa akibat lambakan buah tersebut ketika ini.
Lebih malang, mereka mungkin berdepan kerugian lebih teruk termasuk tidak pulang modal langsung kerana hasil tuaian tidak laku dipasarkan sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Seorang petani, Ishak Yusuff, 42, berkata, mereka biasanya mengeluarkan modal RM5,000 bagi setiap satu hektar kebun yang diusahakan dengan tembikai pada setiap musim.
Katanya, kebanyakan hasil akan keluar secara berperingkat, namun jumlah pekebun yang ramai ketika ini ditambah pemborong yang berkurangan menyebabkan lambakan buah berlaku sehingga ada yang gagal mendapat semula modal mereka.
“Setakat ini saya dan rakan petani lain mengambil inisiatif bersedekah dan mengadakan kempen beli satu percuma satu kepada pelanggan bagi membolehkan hasil tanaman kami terjual.
“Bagaimanapun, buah masih berlambak beribu-ribu biji lagi sedangkan kita tahu tembikai tidak boleh disimpan lama. Saya terpaksa reda berdepan kerugian berganda pada tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi petani, Ab. Lah Che Noh, 71, pula berkata, dia tidak menyangka PKP akan diadakan seluruh negara sekali lagi sehingga menyebabkan hasil tanaman tidak terjual buat tahun kedua berturut-turut.
Katanya, dia sepatutnya sudah memasarkan hasil tanamannya secara berperingkat, namun sejumlah tujuh tan tembikai sudah terbiar busuk di kebunnya disebabkan tidak laku dijual secara borong.
“Hingga kini jualan tidak dapat dilakukan disebabkan tiada pasaran. Pada kali ini tiada pemborong datang mengambil buah dan aktiviti jualan tepi jalan kurang sambutan menyebabkan kami rugi selepas mengeluarkan banyak modal,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Jeli, Norazreen Shamsudin berkata, Jabatan pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membantu mencari pemborong untuk memasarkan hasil pertanian pekebun tembikai yang mengikat kontrak dengan mereka.
Katanya, kebanyakan penanam yang mengusahakan tembikai adalah di kawasan Kuala Balah dan Lubok Bongor di sini dengan keluasan berjumlah 50 hektar.
“Pihak kami telah membuat kontrak pemasaran dengan Syarikat Beho Supply Sdn. Bhd. untuk mengambil hasil tembikai itu.
“Pembelian pertama bermula tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dan mereka baru ambil sekali lagi dua hari lepas. Syarikat ini membeli tembikai secara borong hingga 20 metrik tan sehari,” katanya. – UTUSAN ONLINE