KEMAMAN: Helah nelayan Vietnam menggunakan nombor pendaftaran tempatan palsu untuk mengaut hasil laut negara gagal apabila bot bersama sembilan kru itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.
Pengarah Zon Maritim Malaysia Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot yang menggunakan nombor pendaftaran PAF 3957 itu ditahan pada kedudukan 35 batu nautika timur laut Kuala Kemaman di sini kira-kira pukul 4.10 pagi.
Katanya, tindak-tanduk mencurigakan nelayan bot berkenaan menangkap ikan berjaya dikesan Kapal Maritim (KM) Gemia yang membuat rondaan bersepadu Op Kuda Laut dan Op Iman.
“Ciri-ciri dan struktur fizikal bot tersebut menyerupai bot nelayan Vietnam tetapi menggunakan nombor pendaftaran tempatan yang disyaki palsu
“Kesemua kru yang berusia 28 hingga 50 tahun itu didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, permit kerja di samping lesen bot yang meragukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rashidilhadi berkata, pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan dan 1,000 liter bekalan diesel yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen sah dan Akta Imigresen 1959/63. -UTUSAN ONLINE