Kuih raya pendapatan tambahan pengusaha kantin - Utusan Malaysia

Kuih raya pendapatan tambahan pengusaha kantin

ZAIHANODIN Jamaludin menunjukkan pelbagai jenis kuih yang dibuat di rumahnya untuk dijual sempena hari raya di Kampung Sungai Kuali, Serkat. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Golongan peniaga di sini masih lagi terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Turut terkesan ialah pengusaha kantin, Zaihanodin Jamaludin, 49, yang mengusahakan tiga buah kantin sekolah.

Dia berdepan situasi sukar apabila hanya beberapa bulan institusi pendidikan itu dibuka tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.

Malah, pengumuman sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan dilaksanakan semula selepas Aidilfitri sehingga 28 Mei meresahkan lagi dirinya yang terpaksa memikirkan alternatif bagi menggantikan perniagaannya itu.

“Nak kata rugi, memang rugi, tetapi, nak buat macam mana, kami mengikut arahan daripada pentadbiran sekolah yang bergantung dengan kehadiran murid dan guru sebagai pelanggan utama.

“Apa pun, saya akan patuh kepada tempoh tawaran selama dua tahun yang diberikan oleh pihak sekolah kepada pengusaha kantin bagi mengelakkan sebarang masalah kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Justeru, bagi memastikan kantung poketnya terus terisi untuk melunaskan komitmen bulanan, Zaihanodin tidak duduk sahaja, sebaliknya membuat pelbagai jenis kuih-muih moden bermula awal Ramadan lalu bagi menambah pendapatan.

Katanya, dengan dibantu oleh isteri, Ariyati Alwi, 48, mereka membuat kira-kira 30 jenis kuih moden yang dinamakan ombak rindu, untaian kasih, menjinak ombak, selain biskut suji, biskut sampan, tart gulong dan sebagainya untuk menarik perhatian pelanggan.

“Kerja-kerja mengadun tepung, mencetak, memasak bermula selepas sahur sehingga tengah malam bagi memastikan tempahan pelanggan dapat dipenuhi dua minggu sebelum hari raya.

“Kuih-kuih ini kami hantar kepada beberapa tempat seperti kilang-kilang, bazar Ramadan, pasar raya selain tempahan daripada penduduk kampung di kawasan Serkat dan sekitarnya,” katanya yang menjalankan perniagaan itu di rumahnya di Kampung Sungai Kuali.

Tambah Zaihanodin, setakat ini, pihaknya telah menyiapkan tempahan kira-kira 3,000 balang pelbagai jenis kuih dengan harga antara RM10 hingga RM18 mengikut jenis kuih.

Katanya, kerja-kerja mereka turut dibantu oleh anak-anak yang seronok dapat membantu ibu bapa mereka, selain mencari duit perbelanjaan untuk membeli pakaian baharu sempena perayaan minggu hadapan.

“Walaupun bahan-bahan membuat kuih mengalami kenaikan harga termasuk harga balang pada tahun ini, namun, harga jualan yang kami tawarkan masih lagi mampu dibeli kerana tidak terlalu tinggi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN