ARAU: Bagi generasi moden, nama kuih karas mungkin agak asing bagi mereka, namun hakikatnya kuih tradisional itu terus menjadi pilihan atau menu ‘wajib’ di Aidilfitri.
Jadi tidak hairanlah, apabila Zabedah Salleh, 59, dari Kampung Sungai Padang, Simpang Empat di sini tidak menang tangan setiap kali menjelangnya Aidilfitri bagi menyiapkan ribuan tempahan kuih berkenaan.
Zabedah mengusahakan perniagaan kuih karas sejak 30 tahun lalu dengan Aidilfitri tahun ini sahaja sudah hampir 2,000 kuih terjual.
Kuih tersebut dijual pada harga serendah RM17 bagi setiap 50 biji dengan setiap kali Aidilfitri pelanggan tidak putus-putus membuat tempahan kuih tradisi itu.
Kata pesawah itu, kuih tersebut dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan asas seperti tepung beras, gula, garam, air serta minyak untuk menggoreng.
“Namun begitu, tidak ramai generasi muda kini yang berminat dan boleh membuat kuih tradisi tersebut kerana memerlukan kesabaran serta ketelitian ketika mengirai adunan kuih itu di dalam minyak panas menggunakan acuan khas yang diperbuat daripada tempurung.
“Bagi mendapatkan hasil yang rangup saya menggunakan tepung beras putih yang lebih halus berbanding tepung beras biasa serta acuan tempurung dengan lubang yang kecil.
“Mahu buat kuih ini kena sabar dan tidak boleh leka kerana kuih ini masak sekejap sahaja di atas api dan jika dibiarkan terlalu lama ia akan jadi hitam dan tidak cantik,” kata ibu kepada empat orang anak itu ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Zabedah, selain Perlis, dia juga menerima tempahan daripada pelanggan di Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.
“Bagi mereka (pelanggan) yang sudah biasa makan kuih karas ini, mereka akan sentiasa mencari. Alhamdulillah, ramai pelanggan yang berpuas hati dengan kuih ini dan membuat pesanan setiap tahun,” katanya.
Kuih karas merupakan antara kuih tradisional negeri ini yang mempunyai bentuk jaringan halus seperti bihun tetapi rangup dan manis. -UTUSAN ONLINE