Kuetiau juadah terakhir anggota bomba sebelum maut kemalangan - Utusan Malaysia

Kuetiau juadah terakhir anggota bomba sebelum maut kemalangan

ROHAYU Idris (duduk, kanan) dikunjungi Ketua BBP Pontian Baru, Iqbal Raduan (kiri) ketika menunggu proses bedah siasat arwah suaminya di Hospital Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuetiau juadah terakhir anggota bomba sebelum maut kemalangan 

PONTIAN: Kuetiau goreng menjadi juadah sahur terakhir buat seorang anggota bomba sebelum terlibat dalam kemalangan dua motosikal di Kilometer 80.4 Jalan Johor Bahru – Batu Pahat berhampiran Kampung Sanglang, di sini pagi ini.

Dalam kemalangan pada pukul 8.20 pagi itu, mangsa, Anuar Abdullah, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah kepala dan badan.

Nahas itu turut meragut nyawa seorang warga emas, Tey Ah Pin, 74, dari Kampung Parit Gantong Ayer Baloi, di sini yang turut maut di tempat kejadian.

Isteri Anuar, Rohayu Idris, 30, berkata, ketika kejadian arwah suaminya dalam perjalanan pulang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru.

“Suami saya cuti empat hari, dia balik ke rumah ibunya di Kampung Parit Suloh, Batu Pahat dan ketika kejadian dia ke pejabat untuk ambil barangan yang dibelinya.

ANUAR ABDULLAH

“Dia keluar rumah lepas subuh kira-kira pukul 6.30 pagi dan berjanji nak pulang kembali sekitar pukul 9 pagi tetapi saya dapat panggilan tentang kemalangan pada pukul 10.40 pagi, sebelum bergegas ke hospital.

“Pagi tadi dia bersahur dengan saya dan anak, makan kuetiau goreng, itu juadah terakhir dia dan keluarga,” katanya ketika ditemui di Hospital Pontian di sini, hari ini.

Rohayu berkata, jenazah suaminya akan dibawa ke rumah ibunya petang ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mustafa Bakri Salleh berkata, kemalangan berlaku apabila warga emas yang menunggang motosikal Honda Wave keluar dari lorong rumahnya ke laluan berkenaan.

“Pada masa yang sama, Anuar yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Versys tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal yang dinaiki Ah Pin.

“Akibat daripada pelanggaran tersebut, anggota bomba mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan warga emas itu  mengalami kecederaan parah di kaki,” ujarnya ketika dihubungi di sini.

Tambah Mustafa, kedua-dua mangsa kemalangan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut, sementara kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya