PERMATANG PAUH: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) berharap industri perkayuan di negara ini dapat diuruskan secara lebih mapan sama seperti komoditi lain iaitu sawit dan getah.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, hal ini penting bagi memastikan masa depan hutan negara lebih terjamin.
Menurut beliau, ketika ini, industri perkayuan atau kayu-kayan memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio ekonomi di Malaysia.
“Sebagai sub sektor komoditi ketiga terbesar selepas sawit dan getah, industri kayu-kayan telah menyumbang kepada kadar pendapatan nilai eksport sebanyak RM22.02 bilion tahun lepas dan daripada jumlah itu juga, Pulau Pinang telah menyumbang sebanyak 5.3 peratus atau RM1.16 bilion.
“Kita jangkakan jumlah itu akan terus meningkat untuk tahun ini walaupun pandemik Covid-19 masih berlarutan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau ditemui semasa menghadiri Sesi Dialog Bersama Industri Perkayuan Malaysia dan Majlis Iftar Ramadan anjuran Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), di Seberang Jaya di sini.
Pulau Pinang merupakan tuan rumah ketiga untuk sesi dialog itu selepas diadakan di dua lagi lokasi sebelum ini iaitu Kuala Lumpur dan Melaka bermula 3 Mei lalu.
Dalam pada itu Mohd. Khairuddin memberitahu, situasi semasa pandemik Covid-19 yang melanda India ketika ini diyakini tidak akan menjejaskan pasaran sawit mentah di negara ini.
“Memang India adalah negara yang paling banyak mengimport komoditi itu (sawit mentah) dari negara kita.
“Namun, kita percaya ia tidak akan mengganggu perkembangan industri itu ketika ini. Lagipun situasi Covid-19 yang teruk di India masih baharu dan kita juga belum menerima sebarang aduan berkaitan dengannya,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE