KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk menyiasat dakwaan wujud kartel dalam PDRM seperti yang didakwa oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah menulis surat kepada suruhanjaya berkenaan untuk mengambil alih soal kartel itu dan menjalankan siasatan segera.
Katanya, Bukit Aman tidak boleh menyiasat soal kartel itu kerana ia hanyalah satu tohmahan yang dilemparkan ke atas pasukan keselamatan utama negara itu.
“Kami hands off (menyerah) berhubung perkara ini, biar mereka datang dan siasat secara telus kerana dari dulu hingga sekarang PDRM ialah anggota masyarakat.
“Saya serius dan sedia maklum dakwaan berlaku isu kartel dalam PDRM, jadi kita sudah menulis surat mempelawa EAIC untuk menyiasat perkara ini dengan segara dan mereka sedang meneliti permintaan kami dalam hal ini.
“Kami tidak boleh menjalankan siasatan kerana ia hanyalah tohmahan dan hanya pihak ketiga yang boleh menyiasat dan memberi keputusan yang mana EAIC satu suruhanjaya bebas dan mempunyai reputasi yang baik serta berupaya mengendalikan hal ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, cogan kata PDRM ‘Kita Sedia Berkhidmat’ akan sentiasa dipatuhi oleh seluruh anggota berlandaskan disiplin.
Justeru itu, kata beliau, PDRM tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dan sentiasa menyeru warganya agar tidak melupakan cogan kata agensi berkenaan dan lambang yang sentiasa dibawa dari mula melangkah ke dalam pusat latihan sehingga bersara nanti. – UTUSAN ONLINE