Kilang-kilang di Negeri Sembilan mahu beli vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Kilang-kilang di Negeri Sembilan mahu beli vaksin Covid-19

MOHAMAD RAFIE AB MALEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 20 buah kilang di Negeri Sembilan bersedia menanggung pembelian vaksin Covid-19 bagi pelaksanaan program imunisasi terutama untuk warga asing dalam kalangan pekerja mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek memberitahu, jika perkara itu dibenarkan oleh pihak kerajaan Persekutuan, kira-kira 15,000 pekerja asing di kilang-kilang boleh divaksinkan dengan kadar segera.

“Kerajaan negeri telah berhubung dengan semua sektor perindustrian di negeri ini dan kilang-kilang ini bersedia untuk mengeluarkan dana mereka sendiri untuk membeli vaksin supaya pekerja-pekerja mereka divaksinkan dengan segera.

“Kami sedang berhubung dengan kerajaan Persekutuan supaya ini dapat dilaksanakan. Kita tahu sekarang proses imunisasi di lihat agak perlahan dan kita tidak tahu bila giliran pekerja-pekerja kilang ini akan menerima vaksin mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad Rafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan menambah, kerajaan negeri berharap supaya kerajaan Persekutuan dapat memberi laluan kepada kilang-kilang tersebut untuk membeli vaksin mereka sendiri.

“Kita tahu di kilang-kilang banyak berlaku kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka jadi kita kena percepatkan vaksinasi bagi pekerja asing di kilang-kilang.

“Saya juga telah berbincang dengan Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan dan juga dengan Kementerian Kesihatan bagi berusaha dalam perkara ini dan saya berharap kerajaan Persekutuan dapat membantu supaya ia dapat dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara sepenuhnya sekali lagi, ekonomi di negeri ini tidak terkecuali akan menerima kesan termasuk jumlah pelaburan asing.

“Ekonomi yang sedia ada berjalan ketika ini tentunya menerima kesan tidak terkecuali sektor ekonomi baharu seperti pelaburan asing, memang ia akan terjejas jika PKP sepenuhnya dijalankan.

“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan perlu membuat penilaian dan kajian teliti, adakah PKP penuh benar-benar memberikan kesan terbaik bagi menghentikan penularan Covid-19. Jika ya, saya berpandangan ia boleh dilakukan dan pihak berwajib perlu memaklumkan berapa lama tempoh yang diperlukan supaya pihak industri dan ekonomi seumpamanya dapat melakukan perancangan terhadap operasi perniagaan mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya