Kesediaan Singapura permulaan yang baik - MB Johor - Utusan Malaysia

Kesediaan Singapura permulaan yang baik – MB Johor

HASNI Mohammad (kiri) mendengar taklimat berhubung projek United Kotak Berhad sempena Majlis Pecah Tanah United Kotak Berhad 2, di Kulai, Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Kesediaan Singapura untuk membincangkan beberapa isu antara dua negara termasuklah soal perjalanan rentas sempadan adalah satu permulaan yang baik untuk mencapai hasrat tersebut.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, itu antara intipati yang diperolehnya berhubung lawatan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ke Singapura untuk bertemu rakan sejawatnya, Dr. Vivian Balakrishnan, dua hari lalu.

Katanya, kesediaan Singapura itu menunjukkan bahawa republik berkenaan turut berusaha memperbaiki aktiviti perniagaan mereka dan perjalanan rentas sempadan.

“Kunjungan Hishammuddin ke Singapura dua hari lalu bagi membincangkan beberapa isu melibatkan dua negara pasti akan memberi manfaat kepada Johor.

“Walaupun saya berpendapat perbincangan itu tidak memenuhi sepenuhnya permintaan Johor, namun, sekurang-kurangnya, ia memberi sedikit kelegaan kerana ia menunjukkan bahawa negara jiran mempertimbang soal perjalanan ihsan bagi individu yang keluarga mereka di sini sedang berdepan kesukaran boleh merentas sempadan dengan prosedur lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah United Kotak Berhad 2 di Kawasan Perindustrian SME, Bandar Indahpura, di sini hari ini.

Ahad lalu, kedua-dua negara bersetuju dengan pelaksanaan Keperluan Prosedur dan Kemasukan bagi Lawatan Kecemasan Berkaitan Kematian dan Penyakit Kritikal (DCEV) bermula 17 Mei ini.

Prosedur itu akan membolehkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara atas sebab ihsan dan kecemasan.

Dalam pada itu, Hasni menzahirkan kebimbangan pihaknya berhubung aspek pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) penduduk di negeri ini menjelang sambutan perayaan Aidilfitri, tidak lama lagi.

Beliau berkata, kebimbangan itu ekoran situasi semasa pandemik Covid-19 yang sedang menunjukkan peningkatan di seluruh negara, termasuklah di Johor.

“Komuniti Muslim di negara ini bakal merayakan perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, perkara itu sedikit sebanyak merisaukan kita. Ini kerana kebiasaannya perayaan itu akan melibatkan perkumpulan beramai-ramai, kunjung mengunjung dan pelbagai majlis keramaian lain,” katanya.

Sehubungan itu, Hasni berharap, orang ramai akan terus melakukan yang terbaik dalam memastikan penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat terus terkawal.

“Sekiranya masyarakat tiada pematuhan dan disiplin terhadap SOP, itu yang dibimbangi pihak berkuasa yang bertangungjawab memastikan kes baharu Covid-19 dikawal. Saya juga harap pelbagai promosi dijalankan kerajaan bagi mendaftarkan rakyat Malaysia untuk mendapatkan suntikan vaksin mencapai sasaran 80 peratus penduduk agar wabak ini dikurangkan atau lebih baik, hilang terus,” ujarnya.

Semalam, Malaysia menyaksikan sebanyak 3,418 kes positif Covid-19 baharu di mana sejumlah 205 yang dilaporkan adalah berlaku di negeri ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN