Covid-19: Kes pertama mutasi berganda dari India sudah dikesan di Malaysia - Utusan Malaysia

Covid-19: Kes pertama mutasi berganda dari India sudah dikesan di Malaysia

DR. DHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian Covid-19 mutasi berganda dari India dikenali sebagai B.1.617.1.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia dikesan selepas saringan dibuat di pintu masuk utama negara melalui analisis keseluruhan jujukan genom (WGS).

“Ia dikesan menerusi kemasukan seorang kerakyatan India apabila melakukan saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Adham, beberapa penemuan lain direkodkan berdasarkan laporan WGS itu membabitkan 59 genom dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi tempoh dari 24 April hingga semalam.

Katanya, ini termasuk 30 lagi varian membimbangkan (VOC), iaitu 27 varian Afrika Selatan B.1.351 dan tiga varian United Kingdom, UK B.117, malah turut menemui varian mempunyai kepentingan (VOI), iaitu varian dari India, B.1.617.

Apa yang membimbangkan, katanya, laporan itu turut mengesahkan kes pertama VOC B.1.351 di Perak dan Kelantan, membabitkan kewujudan kluster dengan 10 kes positif di setiap negeri itu.

” Tambahan tujuh kes varian B.1.351 dan dua varian UK B.1.1.7 di Selangor.

“Satu kes varian UK B.1.1.7 turut direkodkan di Sandakan, Sabah, membabitkan seorang warga asing, malah ini kes pertama varian dari UK dalam kalangan individu tanpa sejarah perjalanan ke luar negara dan berkemungkinan ia penularan tempatan,” katanya.

Setakat ini, Adham berkata 48 kes varian Afrika Selatan, B.1.351 direkodkan, UK B.1.1.7 (8 kes), India B.1.617 (1 kes) dan varian Nigeria B. 1.525 (2 kes).

Katanya, IMR mengesan satu kes nasabah C (C.36) daripada seorang individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir.

“C.36 dominan di Mesir. Kita juga merekodkan peningkatan secara berperingkat terhadap jumlah VOC, khususnya varian Afrika Selatan B.1.351 dalam kalangan sampel jujukan genom yang diterima di IMR.

“Ini menggambarkan wujud potensi pertukaran VOC Afrika Selatan, B.1.351 daripada nasabah tempatan, B.1.524,” katanya.

Varian mutasi berganda, B.1.617.1 mula ditemui di India pada 27 April lalu dan laporan Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) mendapati ia menular di sekurang-kurangnya 17 negara di seluruh dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mutasi berganda dari India itu mempunyai kadar pertumbuhan virus COVID-19 yang lebih tinggi, berbanding varian sedia ada di negara itu sekali gus dibimbangi menjadi punca utama peningkatan jangkitan mendadak. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN