PETALING JAYA: Kertas siasatan terhadap selebriti, Noor Neelofa Mohd. Nor serta keluarganya yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Aidilfitri telah dilengkapkan.
Ketua Polis Kuala Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan tersebut kemudian akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi tindakan lanjut.
Katanya, pihaknya memandang serius terhadap isu pelanggaran SOP yang dikuatkuasakan kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19.
“Pergerakan dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah dibenarkan namun sebagaimana telah diputuskan oleh kerajaan, sebarang aktiviti ziarah raya adalah tidak dibenarkan oleh mana-mana individu sekalipun.
“Begitu juga dengan pergerakan merentas sempadan negeri dan daerah juga tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP, orang ramai diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.
Semalam, Neelofa serta ahli keluarganya hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields bagi diambil keterangan berhubung dakwaan melanggar SOP raya.
Ini susulan laporan diterima pihak polis ekoran sebuah video yang tular menunjukkan Neelofa serta suaminya, Haris Ismail atau PU Riz serta ahli keluarga yang lain berkumpul bagi menyambut hari raya Aidilfitri pada 13 Mei lalu.
Video tersebut turut mendapat perhatian netizen yang tidak berpuas hati serta mempersoalkan tindakan selebriti tersebut memandangkan ziarah dari satu rumah ke rumah lain tidak dibenarkan Majlis Keselamatan Negara sempena Hari Raya.- UTUSAN ONLINE