Kerajaan perlu akui kegagalan, rombak MKN - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu akui kegagalan, rombak MKN

MOHD. ZAID IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mengakui kelemahan mereka dalam menangani wabak Covid-19 dengan baik.

Ini kerana negara kini mengalami pandemik Covid-19 lebih setahun lamanya dan kini masyarakat terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pula.

Hal sedemikian, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, Perdana Menteri seharusnya merombak semula ahli Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia ada yang ditugaskan membuat dasar dan menangani Covid-19.

“Kita telah gagal dalam 18 bulan ini. Tak (usah) malu mengaku kelemahan diri. Ambillah kumpulan yang lain.

“Tidak payah ramai wakil polis dan tentera. Tidak perlulah ramai orang politik yang hanya mementingkan kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Tambah beliau lagi, kegagalan tersebut adalah berpunca daripada pemilihan individu yang tidak tepat dalam menguruskan perihal pandemik ini.

Mengukuhkan fakta tersebut, Zaid yang juga Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, terdapat negara kurang maju berbanding Malaysia, namun mampu menguruskan Covid-19 dengan lebih baik.

“Oleh kerana kita ada darurat, Perdana Menteri tidak perlu bimbang mengenai undi tidak percaya.

“Beliau sepatutnya buatlah yang terbaik untuk negara,” jelasnya.

‘Perang’ melawan Covid-19 di negara ini masih belum menunjukkan tanda reda apabila hari ini data rasmi menunjukkan hampir 4,500 kes baru direkodkan.

Zaid dalam masa yang sama turut berkata, kerajaan dan MKN juga perlu berterus-terang kepada rakyat berhubung sesuatu tindakan yang diambil.

Misalnya kata Zaid lagi, berhubung jumlah dos vaksin yang dibeli, harga vaksin dan sama ada negara benar-benar mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi untuk rakyat.

“Tidak guna kita ada iklan (menggunakan) artis yang menyeru rakyat mengambil suntikan vaksin kalau vaksin tidak cukup.

“Beritahu rakyat berapa harga vaksin. Semua ini tidak boleh sulit. Akta Rahsia (Rasmi) bukan untuk merahsiakan perkara seperti ini. Apakah kita ada duit untuk setahun lagi?” soalnya.

Mulai semalam, enam daripada sembilan daerah di Selangor diletakkan di bawah pelaksanaan PKP bermula dan akan berlanjutan sehingga 17 Mei.

Selain itu, seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan beberapa daerah serta mukim di Johor, Perak dan Terengganu pula akan bermula pada hari ini sehingga 20 Mei. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya