Kerajaan Negeri Sembilan warta undang-undang pemeliharaan penyu - Utusan Malaysia

Kerajaan Negeri Sembilan warta undang-undang pemeliharaan penyu

PENYU jenis agar dan karah merupakan dua jenis penyu yang mendarat dan bertelur di sepanjang pantai Port Dickson. -UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bagi memastikan isu pemeliharaan penyu di negeri ini berjalan dengan lebih baik, kerajaan Negeri Sembilan hari ini bersetuju untuk mewartakan undang-undang iaitu Kaedah-kaedah Perikanan Penyu dan Telur Penyu 1976 di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, undang-undang tersebut merupakan subsidiari di bawah Akta perikanan 1985 dan pada asalnya di bawah Akta Perikanan 1963 dan sememangnya terpakai dan berkuat kuasa di Negeri Sembilan.

“Kita tahu ada dua jenis penyu iaitu penyu karah dan agar yang mendarat dan bertelur sepanjang pantai Port Dickson dan bagi menjaga kaedah-kaedah menjaga penyu dan telur penyu, kita wartakan.

“Insya-Allah! ia memberi kuasa kepada Pegawai Perikanan untuk mengeluarkan lesen dan menjalankan penguatkuasaan. Sebelum ini, kita tiada kuasa, belum mewartakan sejak sekian lama, walaupun ada udang-undang ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Menurut Aminuddin lagi, turut diwartakan, ialah undang-undang Kaedah-kaedah Perikanan Sungai 1976.

“Undang-undang ini adalah melibatkan hal ehwal pengurusan aktiviti penangkapan ikan di sungai, termasuk tasik dan paya di Negeri Sembilan.

“Jadi, kita harap dengan adanya undang-undang ini, (urusan) pemeliharaan, pengurusan, pentadbiran dapat dilakukan dengan baik. Ada penguatkuasaan dan tindakan yang perlu diambil oleh mereka bagi memastikan kawasan perikanan sungai kita dapat dijaga,” kata beliau.

Tambah Menteri Besar, menerusi undang-undang tersebut juga, kerajaan negeri juga bersetuju untuk tidak membenarkan warga asing untuk menangkap ikan di kawasan sungai di negeri ini.

“Ramai di antara mereka turun ke sungai pada hujung minggu dan menangkap ikan dengan cara mereka. Kita khuatir ikan kita akan pupus dan sumber kita akan hilang.

“Dengan penguatkuasaan yang ada, mereka tidak dibenarkan untuk menangkap ikan di sungai, kolam dan tasik dan kita harap ini dipatuhi. Kami sedang sediakan tindakan seterusnya termasuk kompaun yang boleh diambil,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya