KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 15 Jun ini untuk keputusan sama ada akan mengambil tindakan terhadap bekas Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam kerana menghina mahkamah, kira-kira tiga tahun lalu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan kendalian Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan pembelaan yang diketuai peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Pada 22 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi di sini memberikan kebenaran kepada Tan Sri Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara ketika itu, untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman yang dinamakan sebagai responden kerana menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.
Lokman didakwa telah menghina mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap salah seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
Saksi tersebut ialah bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang juga merupakan saksi pendakwaan kelapan.
Pada 14 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh oleh Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadapnya.
Terdahulu ketika berhujah, Sri Ram menyatakan Lokman wajar disabitkan dengan kesalahan menghina mahkamah atas kenyataan yang dibuat kerana ia secara terang-terangan mengganggu proses kehakiman.
“Tiada sebarang justifikasi diberikan oleh responden (Lokman) selain mengatakan ia (kenyataan) dibuat tanpa prejudis dan kebebasan bersuara. Tetapi, kebebasan bersuara tidak termasuk mengugut saksi pendakwaan dan menyerasng serta meminta mahkamah untuk menggugurkan kes,”katanya.
Sementara itu, Muhammad Shafee ketika berhujah mengatakan pihak pendakwaan gagal menunjukkan berlakunya gangguan terhadap proses mahkamah dan keadilan.
Ujarnya, pihak pendakwaan tidak memperincikan tindakan menghina tersebut malah tiada sebarang aduan diterima daripada Amhari iaitu saksi yang dikatakan diugut.
“Amhari tidak pernah membuat sebarang aduan kepada pihak pendakwaan dan menyatakan dirinya diugut. Sebaliknya, pihak pendakwaan yang memulakan permohonan komital terhadap Lokman,”katanya.
Tambahnya, pihak pendakwaan sepatutnya memperincikian tindakan yang dikatakan menghina tersebut dan bukannya bergantung kepada afidavit sokongan responden. -UTUSAN ONLINE