Kenyataan wang RM9.5 juta dari Muhammad Farhan - Utusan Malaysia

Kenyataan wang RM9.5 juta dari Muhammad Farhan

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wartawan memberitahu Mah­kamah Tinggi di sini semalam beliau menerima kenya­taan akhbar mengenai Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berbentuk format PDF berkaitan wang RM9.5 juta sebelum membuat berita me­ngenainya.

Menurut wartawan Malay Mail, Lim Lee Ting, 32, dia me­nerima kenyataan mengan­dungi enam muka surat itu daripada peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee pada 8 September 2019.

Saksi ketiga pendakwaan itu memaklumkan dia kemudian menghantar kenyataan berkenaan kepada pengarang kerana percaya Muhammad Farhan adalah sumber kredibiliti di samping merupakan anak tertuduh.

“Kenyataan diberi Muhammad Farhan itu adalah relevan untuk laporan berita disebabkan individu-individu dan parti-­parti dinamakan seperti Tan Sri Shafee, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim, BN (Barisan Nasional) dan UMNO.

“Saya kemudian menulis laporan berita berdasarkan ke­nyataan media tersebut dan telah hantar laporan berita yang saya tulis kepada pengarang untuk semakan dan sete­rusnya diterbitkan di laman web Malay Mail pada hari sama.

“Sebanyak empat laporan berita yang saya tulis telah terbit dalam portal Malay Mail. Selepas penerbitan, tiada siapa menghubungi saya untuk me­minta pembetulan dibuat ke atas berita tersebut,” katanya dalam pernyataan saksi.

Lee Ting menjelaskan semua laporan berita itu antaranya menyatakan Muhammad Shafee menerima RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan bayaran pendakwaan kes liwat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujarnya, laporan itu telah menyebut tertuduh mendakwa menerima bayaran tersebut untuk yuran guaman berkaitan 46 petisyen pilihan raya yang melibatkan BN dan UMNO bagi tahun 2004 dan 2006.

“Beberapa hari kemudian, saya mengetahui laporan be­rita bahawa Tan Sri Shafee (Muhammad Shafee) telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur berkaitan isu RM9.5 juta,” jelasnya.

Muhammad Shafee kini dibicarakan atas tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Bagi perbuatan itu, Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penya­ta yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 4 Jun ini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN