SEREMBAN: Isu rentas negeri melibatkan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya ke Nilai 3 tidak dibawa ke mahkamah selepas mengambil kira kajian yang dilakukan Pejabat Peguam Negara (AGC).
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, siasatan melibatkan kes tersebut telah dirujuk kepada AGC di Putrajaya sebelum ini.
“Kajian dan keputusan telah dibuat oleh AGC berdasarkan keterangan yang ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas mengenai kes rentas negeri ke Nilai pada 2 Mei lalu melibatkan Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd. Ismail yang tidak didakwa di mahkamah.
Perkara tersebut menimbulkan persoalan daripada netizen dan masyarakat apabila tiada pihak tampil menjelaskan isu Neelofa dan suaminya yang dipercayai merentas negeri dan berada di sebuah premis menjual karpet di Nilai 3.
Video pasangan itu ke premis berkenaan dikongsikan Neelofa di Instagram Story miliknya sebelum dipadamkan.
Sebaliknya, pertuduhan ke atas Neelofa adalah atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk ke premis atau menulis secara manual.
Muhammad Haris didakwa atas dua pertuduhan iaitu bagi pertuduhan pertama atas kesalahan yang sama dengan Neelofa iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera.
Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Haris didakwa kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Pasangan selebriti itu didakwa di Mahkamah Majistret Seremban semalam, bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah.