Kemeriahan pelita di Felda Lok Heng Timur gamit nostalgia - Utusan Malaysia

Kemeriahan pelita di Felda Lok Heng Timur gamit nostalgia

SEBAHAGIAN pelita yang dipasang penduduk Felda Lok Heng Timur sempena pertandingan pelita raya anjuran pentadbiran tanah rancangan itu di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Usaha pihak pentadbiran Felda Lok Heng Timur di sini, yang menganjurkan pertandingan pelita raya bertujuan menggamit nostalgia ketika peneroka Felda mula memasuki tanah rancangan itu mendapat perhatian pelbagai pihak.

Bahkan gambar yang dikongsikan menerusi Facebook Felda Lok Heng Timur itu turut tular selepas mendapat banyak perkongsian daripada para pengguna laman sosial tersebut.

Pengurus Felda Lok Heng Timur, Mohd. Aswat Othman berkata, beliau tidak menyangka gambar pertandingan yang dimuat naik dalam Facebook tanah rancangan itu malam tadi mendapat perkongsian yang begitu banyak.

“Saya tak sangka ramai yang ‘share’ gambar tersebut. Tujuan kita buat pertandingan ini untuk mengembalikan semangat peneroka agar berkobar-kobar menyambut 10 malam terakhir Ramadan.

“Kita faham peneroka semua berada dalam mood yang tidak bersemangat ekoran pandemik Covid-19 melanda negara sekarang, oleh itu kita mahu kembalikan mood mereka dengan cara ini.

“Alhamdulillah bila kita anjurkan, peneroka begitu bersemangat mencari buluh dan sebagainya untuk menghias pelita. Dengan cara ini juga dapatlah anak-anak Felda yang berada di perantauan melepaskan rindu dengan melihat hasil kreativiti ibu bapa mereka sendiri,” katanya.

Mohd. Aswat berkata, pertandingan dengan tema ‘Beautiful Lok Heng Timur’ yang pertama kali dianjurkan itu turut menawarkan hadiah wang tunai kepada para peneroka.

Katanya, pertandingan itu melibatkan dua kategori iaitu kawasan blok dan tugu blok yang menawarkan hadiah bermula RM100 hingga RM600.

Manakala bagi kategori rumah individu hadiah wang tunai ditawarkan bermula RM50 sehingga RM300.

“Melalui pertandingan ini juga kita dapat lihat kesepakatan dalam kalangan penduduk terutama bagi menjayakan kategori kawasan blok dan tugu blok.

“Usaha ini turut mendapat perhatian Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) yang mana beliau mahu menambahkan jumlah hadiah bagi setiap kategori sebagai sokongan dan pembakar semangat penduduk,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN