Kelantan nafi mohon perintah ‘lockdown’ - Utusan Malaysia

Kelantan nafi mohon perintah ‘lockdown’

AHMAD Yakob (kiri) menerima sumbangan cek sumbangan dari Ketua Pegawai Eksekutif PKNIK Ab. Aziz Yunus di Pejabat Menteri Besar Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan menafikan pernah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Pusat untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat atau ‘total lockdown’.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, setakat ini, kerajaan negeri hanya mengemukakan laporan justifikasi berkaitan perkembangan terkini situasi Covid-19 di negeri ini.

“Laporan itu bertujuan membolehkan kerajaan Pusat menimbang langkah yang bersesuaian dengan keadaan yang sedang berlaku di Kelantan ketika ini.

“Antara disebut peningkatan kes setiap hari, varian Afrika Selatan B 1.351, kadar kebolehjangkitan (Rt) melebihi 1.0, 16 peratus kes tiada kaitan epidemiologi dalam komuniti, pengurusan sumber manusia dan logistik kesihatan yang semakin meruncing.

“Jika ‘total lockdown’ dilaksanakan, banyak perkara yang perlu diambil kira terutamanya dari aspek ekonomi, sosial dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di pejabatnya, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima bantuan mangsa Covid-19 sebanyak RM1 juta yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ab.Aziz Yunus untuk Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah).

Beberapa media tempatan semalam melaporkan dakwaan kononnya Kelantan telah mengemukakan permohonan sebanyak dua kali untuk melaksanakan ‘total lockdown’, namun, ditolak kerajaan Pusat.

Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, pandangan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kesihatan negeri dan pasukan keselamatan perlu diambil kira dengan sebaik mungkin jika mahu mengemukakan cadangan itu.

“Setakat ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah meminta supaya negeri bergerak seiring dengan Pusat agar sebarang keputusan dijalankan dengan selari,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN