KOTA BHARU: Hanya empat jemaah dibenarkan menunaikan solat fardu di semua masjid dan surau di negeri ini apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasakan di seluruh negara bermula esok.
Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Kadir dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, ketetapan prosedur operasi standard (SOP) terkini itu berkuat kuasa 1 Jun ini hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Oleh itu, pihak Maik mengharapkan kerjasama semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.
“SOP ini hendaklah dipatuhi oleh pihak pengurusan berkenaan dan tindakan sewajarnya akan diambil jika gagal mematuhinya.
“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.
Menurut Tengku Mohamad Rizam, ketetapan tersebut dibuat mengikut Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.