Kekalkan surau di lokasi asal - Utusan Malaysia

Kekalkan surau di lokasi asal

ABDULLAH Khalbi menunjukkan salinan surat surau Al Karamah yang didaftarkan secara sah dengan Jabatan Agama Islam Perak pada tahun 2014 di Ipoh semalam. – MINGGUAN/ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kariah surau Al-Karamah di Kampung Sri Keramat, Pasir Puteh dan penduduk dua perkampungan sekelilingnya di sini menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung isu yang melanda surau berkenaan.

Mereka juga melahirkan rasa syukur kerana titah Sultan Pe­rak yang memberi perkenan agar surau itu tidak dirobohkan sehingga surau baharu siap dibina.

Setiausaha Kariah Surau Al Karamah, Abdullah Khalbi berkata, susulan titah Sultan Nazrin itu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim untuk memperincikan beberapa perkara termasuk isu lokasi.

Katanya, ini kerana penduduk berpendapat, lokasi surau baharu itu yang terletak dalam kawasan yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam sebagai tidak sesuai dan mungkin boleh menimbulkan isu-isu lain.

“Bukan niat kami untuk menyanggah titah sultan, cuma sebolehnya kami sangat berharap agar surau ini tidak dirobohkan kerana selain isu lokasi, pembinaanya adalah hasil titik peluh penduduk semasa meneroka kampung ini 30 tahun lalu.

“Surau ini ada sejarahnya tersendiri kerana ia turut menjadi asbab orang-orang Melayu datang membuka penempatan di sini. Penduduk menetapkan pendirian tidak mahu surau dipindahkan dan mahu berunding dengan kerajaan negeri.

“Ini seperti mana titah baginda agar keputusan dibuat dengan persetujuan penduduk,” ujarnya ketika ditemui Mingguan Malaysia semalam.

Pengerusi Kariah Surau Al Karamah, Abdul Wahab Abdul Rashid menegaskan, surau itu bukan dibina atas tanah pemaju seperti mana didakwa, sebaliknya atas tanah kerajaan yang kemudiannya didaftarkan di bawah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Perak pada tahun 2014.

“Tapak surau dibina di atas Lot 214468 seluas satu ekar seperti dalam pelan perkampungan ini yang sebelumnya dikenali Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Kampung Sri Keramat iaitu kawasan penempatan untuk penduduk-penduduk miskin sebelum dimasuki pemaju pada tahun 2017.

“Sepanjang terbabit dalam 11 perbincangan dengan pihak Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk), saya selaku wakil kariah tidak pernah bersetuju dengan sebarang cadangan untuk memindahkan surau dan kecewa dengan cara MAIPk menyelesaikan isu surau ini,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Presi­den Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, isu Surau Al Karamah perlu dinoktahkan dengan jalan penyelesaian yang memuaskan hati kariah serta penduduk dan bukan mengikut telunjuk pemaju semata-mata.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya