Kegiatan curi lori, motosikal tumpas - Utusan Malaysia

Kegiatan curi lori, motosikal tumpas

NOR Omar Sappi (kiri) memeriksa dua kepala lori disyaki dicuri yang ditemui Jumaat lalu dalam sidang akhbar di IPD Manjung hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis menumpaskan kegiatan mencuri kenderaan termasuk lori dan kabel elektrik dalam satu serbuan di sebuah rumah dan bengkel dalam ladang kelapa sawit di Changkat Keruing dekat sini pada Jumaat lalu.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang mekanik berusia 36 tahun yang disyaki menjadi dalang kegiatan itu sejak lebih setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dalam serbuan pada pukul 9 malam Jumaat lalu itu, polis menemukan dua kepala lori, empat motosikal dan 106 keratan kabel elektrik dianggarkan keseluruhan bernilai RM50,000 di premis tersebut.

“Siasatan mendapati tiga motosikal itu telah dilaporkan hilang di Sitiawan, Pantai Remis dan Kuala Lumpur manakala sebuah lagi motosikal serta dua kepala lori itu masih disiasat kerana nombor casis telah diganggu, tetapi, kami percaya ia juga dicuri.

“Polis percaya kesemua kenderaan itu dicuri untuk dileraikan sebelum komponennya dijual sebagai alat ganti kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.

Menurut Nor Omar, kabel elektrik itu pula dipercayai milik Tenaga Nasional Bhd. (TNB) yang dicuri dan pihaknya kini sedang berhubung dengan syarikat tersebut untuk pengesahan.

Beliau berkata, polis percaya kegiatan itu tidak dilakukan suspek seorang diri dan kini sedang menyiasat individu lain yang terlibat.

Katanya, suspek tidak memiliki rekod jenayah dan direman sejak Sabtu lalu sehingga Sabtu ini.

Jelasnya, dia disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan bermotor dan Seksyen 431A kanun sama untuk kes melibatkan pemotongan kabel elektrik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN