Kedegilan aktiviti Aidilfitri punca wujudnya 26 kluster, dua kematian - Utusan Malaysia

Kedegilan aktiviti Aidilfitri punca wujudnya 26 kluster, dua kematian

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sikap rakyat yang `keras kepala’ apabila tetap melakukan aktiviti ziarah raya dan majlis perayaan sempena Hari Raya Aidilfitri menjadi punca wujudnya 26 kluster komuniti sub-kluster perayaan termasuk kematian sejak 13 Mei.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan terbabit jelas sekali menjadi punca berlakunya kluster baharu biarpun kerajaan telah menetapkan ziarah raya dan penganjuran majlis perayaan tidak dibenarkan.

Katanya, perkara ini direkodkan dan dilaporkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan yang melibatkan sebanyak 1,019 kes positif dalam kluster-kluster.

“Semua kes positif terbabit adalah hasil saringan dijalankan ke atas seramai 4,047 individu dengan kadar positiviti 25.1 peratus yang turut merekodkan dua kematian dan satu kes di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Negeri yang mencatatkan bilangan sub-kluster perayaan Aidilfitri tertinggi adalah Sabah dengan tujuh kluster (26.9 peratus), Kelantan dengan lima kluster (19.2 peratus) serta Johor, Melaka, Pahang, Selangor dan Labuan masing-masing dengan dua kluster (7.7 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya menjangkakan jumlah kes positif dan kluster akan bertambah dengan melibatkan lebih banyak negeri dan daerah.

Melihat kepada rekod, katanya, bermula 7 Disember tahun lalu, 51 kluster rentas negeri direkodkan dengan 6,468 kes positif dikesan berikutan kebenaran pergerakan rentas daerah dan negeri di seluruh negara sebelum larangan merentas dikuatkuasakan semula sejak 10 Mei lalu susulan pandemik semakin meruncing.

“Kluster-kluster rentas negeri termasuk berpunca daripada kes indeks pulang untuk sambutan Aidilfitri, menziarahi keluarga, menghadiri majlis perkahwinan, majlis hari jadi, majlis pengebumian atau kursus di negeri lain serta menjalankan aktiviti ceramah bebas merentas negeri.

“Sejak 1 April sehingga 28 Mei sahaja, sebanyak 20 kluster rentas negeri terdiri daripada 1,420 kes telah dilaporkan. Daripada jumlah tersebut, negeri-negeri yang melaporkan jumlah kluster tertinggi adalah Melaka dengan lapan kluster, Terengganu dengan tiga kluster serta Kelantan, Perak dan Pahang dengan masing-masing dua kluster,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan bahawa larangan merentas daerah dan negeri masih lagi berkuat kuasa, selain larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan biarpun kebiasaan sambutan Hari Raya Aidilfitri berlarutan selama sebulan di bulan Syawal.

“Semua pihak perlu mengambil iktibar dan tidak mengulanginya bagi perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang akan disambut tidak lama lagi.  Peningkatan sub-kluster perayaan hari raya perlu dijadikan sebagai pengajaran agar ia tidak terus bertambah.

“Perlu diingatkan, aktiviti merentas daerah, negeri, kunjung-mengunjung atau perhimpunan sewaktu perayaan tidak sepatutnya berlaku sama sekali dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) bermula pada 1 Jun sehingga 14 Jun ini,” katanya.

Tambahnya, jika sayangkan keluarga masing-masing terutama warga tua maka janganlah pulang supaya perayaan yang lebih bermakna pada tahun-tahun mendatang.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya