ALOR SETAR: Kerajaan negeri sedia mematuhi arahan kerajaan Pusat dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) jika mempunyai keperluan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri ini dalam tempoh dekat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, kerajaan Pusat perlu menyediakan dana yang mencukupi untuk membantu penduduk yang terkesan sekiranya PKP penuh dilaksanakan.
Menurutnya, dana tersebut perlu disediakan kerana tindakan tersebut akan menjejaskan kehidupan dan ekonomi penduduk.
“Bagaimanapun pada masa ini, kerajaan negeri tidak mempunyai cadangan untuk melaksanakan PKP penuh kerana boleh melumpuhkan ekonomi di negeri ini.
“Kita akan melaksanakan PKP penuh sekiranya mendapat arahan kerajaan Pusat dan MKN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan-kawasan yang dikesan mempunyai kes positif Covid-19 yang tinggi.
Jelasnya, PKPD di negeri ini melibatkan sembilan lokaliti di Taman Mahsuri dan Lubuk Kawah, Jitra dan 28 mukim di daerah Kota Setar.
“Kerajaan negeri menyediakan sumbangan dalam bentuk bakul makanan kepada penduduk yang terjejas di kawasan PKPD,” katanya.
Sementara itu, kebanyakan netizen di media sosial di negeri ini pula menyarankan kerajaan melaksanakan PKP penuh berikutan kes positif Covid-19 semakin meningkat dan membimbangkan. UTUSAN ONLINE