Kedah mohon tubuh lembaga pelabuhan - Utusan Malaysia

Kedah mohon tubuh lembaga pelabuhan

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan bagi penubuhan sebuah lembaga pelabuhan sejajar dengan pewartaan Yan di sini sebagai sebuah Pelabuhan Persekutuan baharu negara ini pada 10 Mei lepas.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat mengenai penubuhan lembaga pelabuhan itu.

“Kita hendak Kerajaan Persekutuan berunding dengan kita juga. Kerajaan negeri pun nak ada campur tangan seperti Pelabuhan Pulau Pinang di bawah kendalian Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang. 

“Kedah juga ada kepentingan walaupun walaupun pelabuhan di Yan di bawah kendalian Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan.

“Jadi Kedah nak wujud Lembaga Pelabuhan Kedah dengan pengumuman digazetkan Yan sebagai pelabuhan baharu di Semenanjung ini. Itu adalah permintaan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Kementerian Pengangkutan mewartakan Yan, Kedah sebagai salah sebuah Pelabuhan Persekutuan pada 10 Mei lalu.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perisytiharan itu adalah di bawah Seksyen 5, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Beliau berkata, perisytiharan itu menetapkan suatu had pelabuhan membabitkan keluasan perairan 600 kilometer (km) persegi dengan mengambil kira jarak sejauh lebih kurang 20 batu nautika dari pantai Yan di bawah Seksyen 6 Ordinan yang sama. 

Muhammad Sanusi menambah, kerajaan negeri akan meminta kementerian berkenaan memperincikan cadangan untuk mewujudkan pelabuhan tersebut yang dikatakan bakal diterajui sebuah syarikat konglomerat terkemuka negara.

“Cadangan untuk mewujudkan pelabuhan ini sudah lama. Saya difahamkan permohonan ini di bawah milik syarikat Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan beliau ada rancangan untuk bina pelabuhan di situ. 

“Alhamdulillah kita percaya akan ada limpahan ekonomi di darat dengan pembangunan pelabuhan di kawasan itu,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya