PUTRAJAYA: Peningkatan mendadak kes Covid-19 melibatkan penduduk Lembah Klang memaksa hospital yang dikhaskan merawat penyakit itu terpaksa mengubah wad biasa kepada wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menampung jumlah katil pesakit Covid-19 yang kritikal.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu bagaimanapun mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal.
Katanya, tindakan terbabit terpaksa dilakukan selepas situasi Lembah Klang berada pada tahap sangat kritikal manakala sistem penjagaan kesihatan berada di bawah tekanan yang amat besar.
“Lebih membimbangkan 79 peratus daripada jumlah katil ICU di hospital Covid-19 di Selangor , Kuala Lumpur dan Putrajaya telah diperuntukkan untuk kes Covid-19.
“Jumlah kemasukan ke ICU Covid-19 termasuk yang disyaki dijangkiti di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah meningkat sebanyak 94 peratus berbanding dua minggu yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, petugas barisan hadapan juga sudah kepenatan dan dan kelesuan dalam memastikan sistem penjagaan kesihatan tidak lumpuh.
“Apa yang boleh kami di barisan hadapan melibatkan sistem penjagaan kesihatan adalah bantu kami agar kami masih mampu untuk membantu anda jika dan bila masanya tiba.
“Cara membantu kami adalah dengan duduk di rumah sekiranya anda tidak mempunyai urusan penting di luar dan patuhilah prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Hari ini, Dr. Noor Hisham memaklumkan Malaysia merekodkan peningkatan kes positif baharu Covid-19 yang mendadak iaitu 6,075 kes sekali gus mengatasi rekod tertinggi yang dicatatkan pada 31 Januari 2021 iaitu 5,728 kes.
Katanya, rekod kali ini adalah tertinggi pernah dilaporkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara manakala kes sembuh pula, 3,516 kes.
“Sebanyak 46 kematian direkodkan manakala kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 47,430 kes.
Bagi kes yang memerlukan rawatan di ICU, ia melibatkan sebanyak 559 kes manakala 303 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. -UTUSAN ONLINE