PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mendapati peningkatan kes dan kadar penggunaan kapasiti kesihatan di Lembah Klang kebelakangan ini, amat membimbangkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya tren peningkatan kes Covid-19 ini berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan memberikan impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.
Katanya, terdapat tujuh hospital yang dikhususkan untuk rawatan pesakit Covid-19 termasuk sebuah Hospital Universiti di Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Sebanyak 277 buah katil kritikal (ICU) diperuntukkan bagi pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 bagi negeri-negeri Lembah Klang. Daripada jumlah ini, sebanyak 152 katil kritikal atau ICU dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 dan kadar penggunaan terkini telah mencapai lebih 88 peratus.
“Menurut statistik CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil kritikal/ICU Covid-19 terkini didapati melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang manakala Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil kritikal atau ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, jumlah terbabit adalah berpunca daripada peningkatan kemasukan kes kritikal sebanyak 62 peratus berbanding tempoh dua minggu yang lepas.
Katanya, sehingga hari ini, 108 unit ventilator diperlukan untuk pesakit-pesakit Covid-19 di Lembah Klang sahaja.
“Malah nilai Rt bagi Covid-19 di Malaysia juga menunjukkan peningkatan di mana nilai Rt terkini Malaysia adalah 1.14 manakala nilai Rt Selangor adalah 1.20, Kuala Lumpur adalah 1.16 dan Putrajaya adalah 1.0 yang menunjukkan ketiga-tiga negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0.
“Maka, masyarakat diseru sama-sama membantu kementerian dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan mematuhi nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.
Tahap pematuhan 100 peratus oleh semua pihak adalah amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE