Kapasiti 11 wad pesakit Covid-19 di HRPZ II cecah 98 peratus - Utusan Malaysia

Kapasiti 11 wad pesakit Covid-19 di HRPZ II cecah 98 peratus

PETUGAS barisan hadapan HRPZ II kini diletakkan dalam keadaan bersiap sedia 24 jam sehari bagi berdepan kes Covid-19 di Bahagian Kecemasan dan Trauma hospital itu di Kota Bharu, Kelantan.-UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kapasiti penggunaan katil di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini yang digunakan untuk menempatkan pesakit Covid-19 kategori empat dan lima sudah mencapai 98 peratus.

Pengarahnya, Datuk Dr. Selasawati Ghazali berkata, pihaknya terpaksa menukar fungsi kebanyakan wad di HRPZ II dan setakat ini, 11 wad telah digunakan bagi menempatkan pesakit Covid-19.

“Sekitar Mac lalu, kita hanya sediakan 14 katil untuk wad Covid-19 dan empat katil bagi Unit Rawatan Rapi (ICU). Bagaimanapun, kes Covid-19 meningkat tinggi sehingga kita terpaksa menambah lebih banyak katil di wad-wad sedia ada untuk pesakit ini.

“Setakat ini, terdapat 198 katil untuk pesakit bukan Covid-19 dan 238 katil untuk pesakit Covid-19 di HRPZ II. Bagi ICU, katil untuk pesakit Covid-19 yang dulunya empat, kini ditambah menjadi 42 katil,” katanya kepada pemberita di lobi HRPZ II, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Selasawati berkata, secara keseluruhan, pihaknya sedang berusaha menambah ruangan wad untuk menempatkan lebih ramai pesakit Covid-19 mengikut keperluan semasa.

Katanya, pesakit Covid-19 yang ditempatkan di HRPZ II merupakan golongan kategori empat dan lima iaitu yang memerlukan bantuan pernafasan, berisiko termasuk golongan warga emas yang mempunyai penyakit kronik.

“Bagi pesakit Covid-19 kategori satu, dua dan tiga, mereka akan ditempatkan di Pusat Kuarantin Risiko Rendah (PKRC) berdekatan untuk pemantauan berterusan,” katanya.

Setakat hari ini, Kelantan sudah membuka 10 PKRC di seluruh negeri ini dan difahamkan, dua lagi PKRC bakal dibuka dalam masa terdekat bagi menampung pertambahan jumlah pesakit Covid-19. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya