Kanak-kanak pesakit kanser otak perlu bantuan sewa mesin sokongan oksigen - Utusan Malaysia

Kanak-kanak pesakit kanser otak perlu bantuan sewa mesin sokongan oksigen

TE Chee Le yang menghidap kanser otak memerlukan sumbangan orang ramai untuk membayar kos sewa mesin sokongan oksigen yang diperlukan selepas keluar dari ICU Hospital Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kanak-kanak pesakit kanser, Te Chee Le, 8, memerlukan sumbangan orang ramai untuk membayar kos sewa mesin sokongan oksigen yang diperlukan selepas keluar dari Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang (HPP).

Pengerusi Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN), Maznah Tayib berkata, kanak-kanak berkenaan yang bernaung di bawah FOCCAN menghidap kanser ‘medulloblastoma’ iaitu sejenis kanser otak dan memerlukan sumbangan kira-kira RM5,000 untuk menyewa mesin sokongan oksigen berkenaan.

Jelasnya, Chee Le menghidap kanser sejak tahun lalu dan telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan, rawatan kimoterapi serta radioterapi.

“Dia kini terlantar di ICU HPP dan memerlukan bantuan mesin sokongan oksigen apabila keluar dari ICU nanti,” katanya di sini hari ini.

Menurut Maznah, bapa kanak-kanak itu, Te Kok Inn, 35, bekerja di kedai aluminium manakala ibunya, Cheng Kelly, 32, hanya suri rumah.

“Mesin sokongan oksigen ini perlu disewa dengan kadar RM1,500 sebulan untuk membantu kanak-kanak ini bernafas dengan baik.

“Sumbangan orang ramai diperlukan bagi membiayai kadar sewa selama tiga bulan iaitu sebanyak RM5,000 dan FOCCAN juga akan membantu kanak-kanak ini selama tiga bulan untuk menyewa mesin ini sebelum dana dapat diperoleh,” katanya.

Tambahnya, sumbangan wang boleh disalurkan ke akaun FOCCAN (Maybank 557102120607) dengan menulis derma untuk Te Chee Le.

Dalam pada itu ibu kanak-kanak berkenaan, Cheng Kelly berharap orang ramai dapat membantu menghulurkan sumbangan untuk membiayai kos sewa mesin sokongan oksigen itu.

“Kos sewa mesin ini agak tinggi bagi kami memandangkan hanya suami saya yang bekerja menyara keluarga, kami berharap dapat melihat anak kami sembuh semula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya