SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan tiga hingga empat tahun ditemukan tinggal bersendirian di sebuah taman permainan berdekatan Taman Sinar Intan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah dalam satu kenyataan berkata, kanak-kanak itu ditemui oleh orang awam di taman permainan itu pada pukul 10.30 pagi.
Menurutnya, kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Kes kanak-kanak yang ditemui bersendirian itu kemudian tular dalam media sosial sebelum seorang wanita berumur 30 tahun tampil di Balai Polis Sungai Petani pada pukul 12.45 tengah hari menuntut anaknya.
“Hasil temu bual dengan wanita tidak bekerja itu mendapati anaknya ditinggalkan di rumah jiran pada pukul 9.30 pagi kerana dia keluar ke pekan membeli barangan.
“Kanak-kanak terbabit dikatakan keluar ke taman permainan yang terletak sejauh kira-kira 80 meter tanpa pengetahuan jirannya itu sebelum ditemukan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Adzli menambah, selepas berpuas hati dengan penjelasan wanita berkenaan, polis menyerahkan kanak-kanak itu untuk dibawa pulang.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar mengawasi keselamatan anak-anak di bawah jagaan mereka bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. -UTUSAN ONLINE