KULIM: Kanak-kanak perempuan tidak sempat menggayakan baju kurung baharu yang ditempah secara dalam talian apabila ditemukan lemas selepas terjatuh di dalam longkang sebelum dihanyutkan ke Sungai Dingin, Mahang di sini, semalam.
Kanak-kanak itu, Naera Dellisha Muhammad Nazri, 3, cukup teruja apabila baju raya tersebut yang ditempah, siap dan dihantar ke rumahnya sebelum kejadian malang tersebut.
Bagaimanapun, ibu mangsa, Siti Salbiah Abdul Hameed, 33, berkata, dia memujuk arwah supaya mencuba baju kurung baharu tersebut pada waktu malam kerana dia agak sibuk ketika itu.
“Saya menempah baju raya untuk keluarga secara dalam talian sejak beberapa hari lalu dan baju tersebut secara kebetulan diterima pada pukul 5 petang semalam,” katanya ketika ditemui di Felda Gunung Bongsu di sini hari ini.
Naera Dellisha ditemukan lemas di Sungai Dinggi, Mahang kira-kira pukul 8 malam selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang berdekatan rumah jirannya kira-kira pukul 7 malam.
Mayat kanak-kanak itu ditemukan sejauh kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, mangsa dipercayai terjatuh ketika bermain bersama tiga beradik lain, Muhammad Thaqif, 8, Muhammad Aisy Dayan, 6, dan Naura Aishah, 5, di tepi longkang tersebut.
Bagaimanapun, menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang sedalam 91 sentimeter sebelum dihanyutkan ke Sungai Dingin.
Siti Salbiah berkata, dia tidak menyangka permintaan Arwah yang merupakan anak keempat daripada lima beradik untuk memakai baju kurung itu adalah yang terakhir sebelum pergi buat selama-lamanya.
“Saya puas memujuk arwah selepas didapati begitu beria ingin mencuba baju kurung baharu yang diterima sebelum keluar bermain bersama dengan adik-beradiknya,” ujarnya.
Beliau yang berniaga makanan secara dalam talian memberitahu, arwah keluar bersama tiga lagi anaknya keluar bermain di rumah jiran selepas hujan lebat kira-kira pukul 6.30 petang.
“Bagaimanapun arwah terjatuh ke dalam longkang dan Muhammad Aisy Dayan terjun untuk menyelamatkan adiknya, namun, gagal dan mengalami kecederaan pada dahi dan pipi.
“Muhammad Thaqif juga sempat memegang tangan arwah, namun, terlepas genggaman sebelum mereka bertiga terus mencari adiknya sejauh kira-kira 200 meter sebelum pulang memberitahu keluarga,” katanya.
Jenazah Naera Dellisha dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Felda Gunung Bongsu. -UTUSAN ONLINE