TUMPAT: Ancaman pandemik Covid-19 ada di mana-mana dan hakikat itu terpaksa ditelan penduduk di empat kampung di kepulauan Delta Kelantan di sini biarpun ‘pahit’ kerana dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Kampung Teluk Renjuna, Kampung Pantai Haji Nik Mat, Kampung Pulau Beluru dan Kampung Pantai Suri dikenakan PKPD hingga 4 Jun ini, susulan kes Covid-19 yang melonjak tinggi.
Penularan mengejut itu didakwa berpunca daripada seorang wanita yang didapati positif Covid-19, selepas dia melarikan diri dari Mukim Bunut Susu semata-mata mahu mengelak menjalani PKP di mukim tersebut mulai 9 Mei lalu.
Tinjauan di Kampung Teluk Renjuna mendapati, sejumlah 300 penduduk bertumpu di dewan terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru bagi menjalani ujian saringan Covid-19, termasuk suri rumah, Nik Fazilah Mohd. Nawi, 39.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nik Fazilah berkata, dia sedikit sebanyak berasa terkilan apabila Covid-19 akhirnya ‘tiba’ di kepulauan itu yang selama ini dianggap selamat kerana terpisah dengan tanah besar tanpa sebarang jalan darat.
“Selama setahun lamanya kami penduduk berusaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan lebih banyak berkurung di rumah. Saya sendiri tidak keluar ke tanah besar bagi mengelak virus itu merebak ke kampung ini.
“Kami ingat duduk di pulau sudah selamat daripada Covid-19, rupanya berlaku juga. Namun saya reda dan memaafkan sesiapa jua yang bawa virus itu. Kami kena terima ini sebagai ujian Allah SWT,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, berdasarkan siasatan, pandemik mula menular di lokaliti itu selepas wanita berusia 30-an dari Mukim Bunut Susu, Pasir Mas yang kini dikenakan PKPD pulang beraya di Kampung Teluk Renjuna.
Katanya, selepas PKPD dikuat kuasakan di Mukim Bunut Susu mulai 9 Mei lalu, wanita itu didapati tiada di rumahnya sebelum jabatan akhirnya berjaya mengesan dia menumpang di rumah saudara di Kampung Teluk Renjuna, 11 Mei lalu.
“Ujian calitan ke atas wanita berkenaan yang merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 di Bunut Susu telah dilakukan dan dia disahkan positif pada 13 Mei lalu.
“Sama ada penularan di kampung ini disebabkan dia yang berkunjung ke tempat orang lain, atau ada tetamu yang datang ke rumahnya, itu semua ada kemungkinan. Tidak boleh kata dia sahaja yang bergerak ke sini sana,” katanya.
Menurut beliau, ujian saringan Covid-19 awal ke atas 80 penduduk di situ mendapati 20 daripada mereka positif dan susulan itu, saringan akan diadakan secara berperingkat membabitkan kesemua 1,583 penduduk di empat lokaliti sekitar kepulauan Delta Kelantan. -UTUSAN ONLINE