KANGAR: Sejak lebih setahun lalu, para petugas kesihatan terus ‘kental’ menjalankan tugas mendepani pandemik Covid-19 yang terus menunjukkan peningkatan.
Dalam tempoh tersebut, mereka sama sekali tidak pernah merungut meskipun perlu berdepan tugas cukup memenatkan selain terpaksa berjauhan dengan insan tersayang termasuk ketika sambutan Aidilfitri.
Bagi para petugas vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Wawasan 2020 di sini, mereka sama sekali tidak pernah patah semangat dalam memastikan proses vaksinasi di negeri ini berjalan dengan lancar.
Seorang jururawat dari Klinik Kesihatan Beseri, Fatin Nabilah Fauzi, 30, yang bertugas untuk bahagian penerima vaksin individu dari luar negeri ini berkata, meskipun penat mendepani tugas, namun ia merupakan pengalaman baharu yang perlu ditempuh.
Katanya, demi tugas dalam memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung, dia reda berjauhan dengan suami di Kedah.
“Bertugas di barisan hadapan menyebabkan saya yang tinggal berjauhan (Perlis) jarang bertemu suami di Kedah. Sejak awal tahun ini, kami dapat berjumpa dalam tiga atau empat kali sahaja.
“Bagaimanapun, suami memahami tugas saya. Suami juga memahami situasi Covid-19 Kedah ketika ini juga meruncing. Jika mahu berjumpa nanti perlu jalani kuarantin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Fatin Nabilah yang sudah sembilan tahun menjadi jururawat, dia bertugas sebagai vaksinator di PPV tersebut.
“Mereka ini diletakkan di bahagian khas supaya tidak bercampur dengan penerima vaksin yang tinggal di negeri ini. Ini kerana selepas vaksin diberikan kami akan membuat proses sanitasi,” katanya.
Penyelia jururawat dari Klinik Kesihatan Kangar, Mohd. Erwan Juslin, 39, pula berkata, para petugas tidak pernah mengeluh dalam mendepani tugas setiap hari selain mahu memastikan orang ramai sedar kepentingan mendapatkan suntikan vaksin.
“Selepas sambutan Aidilfitri, proses vaksinasi memang semakin giat dilaksanakan. Kalau dulu, kapasiti vaksinasi dekat sini dalam 1,000 suntikan, tapi kini boleh sampai sehingga 1,600 suntikan sehari.
“Memang kerja lebih banyak kerana proses suntikan diteruskan dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Kalau dulu, waktu tengah hari kami akan berhenti sekejap, namun kini proses suntikan tetap diteruskan.
“Dari segi interaksi dengan penerima vaksin juga sangat mudah terutamanya dalam kalangan warga emas,” katanya yang berasal dari Sabah dan sudah 18 tahun bertugas di negeri ini. -UTUSAN ONLINE