Kadar penggunaan katil Lembah Klang melebihi 90 peratus - Utusan Malaysia

Kadar penggunaan katil Lembah Klang melebihi 90 peratus

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak enam buah hospital yang mempunyai katiL unit rawatan rapi (ICU) dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 didapati melebihi ambang amaran (alert threshold) dengan kadar penggunaan melebihi 70 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, enam hospital berkenaan adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang .

Katanya, purata kadar penggunaan katil ICU Covid-19 di Lembah Klang juga telah mencapai 90 peratus setakat pagi tadi.

“Ada di antara hospital telah pun menghampiri 100 peratus manakala Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pula melaporkan penggunaan katil ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus.

“Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat,” katanya menerusi Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun lalu bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.

Selain itu katanya, pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau di tangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan Covid-19.

“Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit Covid-19.

“Kementerian Kesihatan juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal. Ini termasuk penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui. Penyumberluaran ini telah pun dilaksanakan sejak gelombang kedua pada tahun 2020 dan masih diteruskan sehingga kini,” ujarnya.

Tambah Dr. Noor Hisham, sekiranya trend peningkatan kes Covid-19 ini berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak yang negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

“Masyarakat diseru untuk sama-sama membantu kerajaan dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mematuhi nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan kementerian bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Tahap pematuhan 100 peratus oleh semua pihak adalah amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini, ” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN