ALOR SETAR: Jumlah pesakit Covid-19 di negeri ini yang mengalami komplikasi dan memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), meningkat dengan sangat cepat kebelakangan ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Mohd. Fikri Ujang berkata, situasi itu merupakan sesuatu yang agak membimbangkan dan memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk orang ramai bagi mengekangnya.
Katanya, sehingga semalam, seramai 44 pesakit Covid-19 masih dirawat di ICU dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Sebanyak 11 daripada mereka dirawat di ICU Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani manakala bakinya berada di ICU Hospital Lama Alor Setar dan ICU Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Kebanyakan pesakit yang berada di ICU berumur 50 tahun ke atas. Daripada keseluruhan 44 individu yang dirawat di ICU, cuma tiga saja yang berusia 50 tahun ke bawah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd. Fikri menambah, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kota Setar dan sembilan lokaliti di Bandar Darulaman serta Lubuk Kawah di Jitra akan membolehkan pihaknya melaksanakan pengesanan kontak rapat dengan lebih terperinci terhadap kes-kes berkaitan.
“Saringan akan dibuat terhadap kumpulan sasar yang mungkin berisiko tinggi dan berpotensi meningkatkan penularan Covid-19.
“Jumlah mereka yang disaring bergantung kepada pengesanan kontak rapat dilakukan kini.
“Di Kota Setar, kita dapati penularan Covid-19 kebanyakannya saling berkait antara satu mukim dengan mukim yang lain. Namun, kami akan memberi fokus secara seimbang terhadap semua mukim walaupun ada antaranya kini berstatus zon merah,” katanya. -UTUSAN ONLINE