Jualan Songkok Warisan cecah RM8,000 - Utusan Malaysia

Jualan Songkok Warisan cecah RM8,000

ADNAN Husin, 65, menyusun songkok tempahan pelanggan di kedainya di Warisan Songkok di Kampung Losong, Kuala Terengganu.-UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jualan songkok di kedai Songkok Warisan di Kampung Losong di sini dijangka mampu mencecah RM8,000 di sebalik sambutan Aidilfitri norma baharu yang masih dibayangi penularan Covid-19.

Pengusahanya, Adnan Husin, 65, berkata, tempahan mula diterima sejak minggu pertama umat Islam berpuasa dan sehingga kini jumlah jualan melebihi RM6,000.

Katanya, jika tahun lalu perniagaannya suram ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menjejaskan periuk nasi yang diusahakan sejak 1983 itu, namun kini situasi bertukar 360 darjah apabila kembali sibuk menyiapkan tempahan pelanggan.

“Walaupun permintaan terhadap songkok tidak semeriah dua atau tiga tahun lalu, tetapi sekurang-kurangnya kita masih boleh bernafas dengan tempahan yang sentiasa meningkat.

“Berdasarkan perkembangan itu, kita menjangkakan hasil jualan boleh mencapai sehingga RM8,000 dan jumlah itu sudah dikira tinggi memandangkan Aidilfitri disambut dalam norma baharu,” katanya ketika ditemui semalam.

Adnan berkata, setiap songkok mengambil masa dua jam setengah untuk disiapkan menggunakan fabrik baldu berkualiti dengan dijual pada harga antara RM50 hingga RM150.

Katanya, penggunaan kain pelapik di bahagian dalam merupakan identiti di Songkok Warisan bagi memberikan lebih keselesaan kepada pemakai berbanding songkok sedia ada buatan kilang di pasaran yang hanya menggunakan plastik.

“Saya pernah menerima banyak tempahan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin termasuk ketika baginda bergelar Yang di-Pertuan Agong.

“Tetapi kini sudah tidak ramai pembuat songkok di Terengganu sekali gus menyebabkan warisan ini semakin tenggelam,” katanya.

Menurut Adnan, pembuatan songkok tradisional merupakan antara cabang seni kraftangan yang wajar dipulihara, malah dia bersedia menyumbang tenaga dan berkongsi pengalaman dengan generasi muda agar warisan itu terus dipertahankan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN