Jualan harumanis Perlis mampu cecah RM66.9 juta - Utusan Malaysia

Jualan harumanis Perlis mampu cecah RM66.9 juta

MOHD. Nasir Warris (tengah) bersama wakil kakitangan Pos Malaysia, Nik Azizhariman Ismail (kiri) memegang kotak buah harumanis sebagai gimik Pos Malaysia sebagai rakan penghantar buah itu sempena program jualan harumanis Perlis dalam talian, di Wisma Tani, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pertanian menyasarkan jualan sebanyak 3,336 tan metrik buah mangga harumanis Perlis secara dalam talian sekali gus mampu mencecah nilai jualan RM66.9 juta menjelang Jun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Nasir Waris berkata, setakat ini, nilai jualan semasa merekodkan jumlah RM29,367,500 dengan melibatkan pengeluaran buah sebanyak 1,174.70 tan metrik dan dijangka terus meningkat seiring pengeluaran buah berkenaan.

Menurutnya, pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai memandangkan buah berkenaan kini sudah mula dijual secara dalam talian walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun dalam tempoh PKP, namun, dengan adanya platform yang disediakan ini, orang ramai berpeluang menikmati buah berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Mohd. Nasir berkata, pihaknya berharap orang ramai dapat terus memberikan sokongan kepada 2,415 petani di Perlis dengan membeli hasil tanaman mereka.

Katanya, buah mangga harumanis itu ditanam di ladang seluas 1,575 hektar dan daripada jumlah itu sebanyak 1,334 hektar sudah mula mengeluarkan hasil.

“Jumlah hasil yang dinyatakan ini bagaimanapun tidak termasuk dengan petani atau individu yang menanam pokok berkenaan di sekeliling rumah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Nasir berkata, bagi menggalakkan jualan mangga harumanis, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat kurier di negara ini bagi menghantar buah berkenaan kepada pembeli dalam keadaan yang masih segar.

“Kalau lihat pada tahun lalu ketika pertama kali jual secara dalam talian, buah yang tiba kepada pembeli sangat lewat serta ada yang menerima buah berkenaan dalam keadaan rosak.

“Berdasarkan pengalaman terdahulu, kita jalinkan kerjasama dengan syarikat kurier bagi menyediakan satu pengangkutan khas untuk menghantar mangga harumanis ini tanpa bercampur dengan barang penghantaran lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Nasir menasihatkan orang ramai agar membeli buah berkenaan dengan pengedar yang sah bagi mengelakkan ditipu peniaga tidak bertanggungjawab.
“Harga buah ini sedikit mahal, kerana ia adalah buah mangga terbaik yang dihasilkan. Selain itu, cara penjagaannya sedikit rumit yang menjadikan harga agak mahal iaitu sekurang-kurangnya RM100 untuk tiga kilogram.

“Jadi, jika (harga) bawah daripada harga itu, pembeli perlu berhati-hati,” ujarnya.

Katanya, pihaknya juga mengesan taktik segelintir peniaga yang menggunakan nama harumanis walhal ia buah mangga jenis lain seperti mangga harumanis Kemboja.

“Ia sebenarnya ialah jenis mangga lama iaitu mangga susu dan harganya murah iaitu kira-kira RM6 sekilogram sahaja,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN