MELAKA: Keresahan 33 pesawah di Paya Luboh dekat sini yang dilanda banjir minggu lalu hingga menjejaskan tanaman padi bakal berakhir tidak lama lagi.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri memberi jaminan, pembinaan sangkar batu untuk menghalang hakisan dan limpahan air dari Sungai Paya Luboh yang menyebabkan banjir akan mula dibina mulai bulan depan.
Pengarahnya, Abd. Hakim Hamzah berkata, pembinaan itu telah diluluskan peruntukannya tetapi lewat dibina kerana beberapa masalah yang timbul.
“Semua pesawah yang tanaman mereka dilanda banjir tidak lagi perlu risau. JPS akan mula bina sangkar batu mulai bulan depan. Saya harap selepas ini sawah tidak lagi dilanda banjir teruk selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Minggu lalu, hujan lebat yang melanda telah menenggelamkan sawah padi seluas 52 hektar di kawasan tersebut hingga menyebabkan kerugian hampir RM120,000.
Pesawah turut mendakwa, banjir tersebut adalah paling teruk pernah melanda akibat kegagalan JPS untuk membina sangkar batu yang telah dipohon sejak tiga tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Unit Peladang Paya Luboh, Zahedan Udiniah Bahari melahirkan rasa lega berhubung pembinaan terbabit.
“Ini satu khabar gembira buat pesawah yang risau sawah mereka sering dilanda banjir hingga terpaksa menanggung kerugian.
“Banjir yang melanda minggu lalu menenggelamkan sawah padi yang ketika itu anak padi baru ditanam. Bila ada batu sangkar itu nanti, ia dapat mengurangkan limpahan air,” katanya. -UTUSAN ONLINE