JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini sejak semalam tidak menghalang orang ramai terutamanya masyarakat yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri membuat persiapan tanpa memikirkan penjarakan fizikal di tempat awam.
Tinjauan Utusan Malaysia di Angsana Johor Bahru Mall mendapati, pengunjung berpusu-pusu membeli kelengkapan masing-masing sejak pusat beli belah itu yang menjadi tumpuan pada musim perayaan.
Walaupun pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, mengimbas suhu dan MySejahtera dipatuhi orang ramai, mereka bagaimanapun terlupa mengenai penjarakan fizikal.
Malah, ada pengunjung yang memilih untuk pergi membeli belah pada sebelah pagi kerana tidak ramai pada waktu itu berbanding pada waktu petang, begitu juga pada cuti hujung minggu.
Seorang pengunjung, Shamsiah Karim, 32, dari Larkin amat gembira kerana dapat membeli belah bersama rakan-rakannya berbanding tahun lepas yang tidak membuat apa-apa persediaan.
“Tahun ini macam melepaskan geram untuk membeli, tetapi dalam masa yang sama saya tetap mematuhi SOP kerana pandemik Covid-19 masih lagi menular, berdasarkan pemerhatian boleh dikatakan semua memakai pelitup muka.
“Tetapi, saya lihat ada juga yang membawa bayi datang ke sini yang sepatutnya boleh dielakkan bagi mengelak sebarang risiko,” ujarnya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Ismail Rahim, 44, dari Taman Perling pula berkata, dia bersyukur kerana tahun ini mereka sekeluarga dapat membeli belah membeli baju raya terutama untuk anak-anak walaupun dalam tempoh PKP.
“Memang lah raya dalam PKP tahun ini agak terhad, tetapi untuk anak-anak tetap kena sediakan baju baharu supaya mereka gembira berbanding tahun lepas saya tak berbelanja pun berikutan hampir kesemua pusat membeli belah menutup operasi,” katanya. -UTUSAN ONLINE