PETALING JAYA: Seluruh pemimpin dan jentera UMNO di peringkat akar umbi perlu sedia berkhidmat dan mendengar keluh kesah rakyat yang terkesan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan kerajaan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jentera UMNO di setiap peringkat harus berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menyalurkan sumbangan kepada mereka yang terjejas ketika sekatan pergerakan penuh (total lockdown).
Katanya, ini kerana UMNO berpegang kepada tradisi membela kebajikan rakyat yang menjadi teras perjuangan sehingga parti keramat ini terus kekal relevan sampai ke hari ini.
” Tradisi membela nasib rakyat perlu terus diperkasakan ketika pandemik COVID-19 ini. UMNO perlu menjadi juara membela nasib rakyat.
” Saya menyeru kepada seluruh pemimpin UMNO di peringkat akar umbi serta jentera UMNO supaya turun ke bawah mendengar keluh kesah rakyat yang terkesan akibat sekatan pergerakan penuh dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE