IPOH: Hujan renyai mengiringi pengebumian jenazah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat di sini hari ini.
Jenazah selamat dikebumikan pada pukul 6.20 petang oleh anggota petugas kesihatan yang lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE).
Terdahulu jenazah tiba pada pukul 6.05 petang di tanah perkuburan itu setelah dikafan dan disolatkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Majlis pengebumian dikawal ketat oleh anggota polis yang menutup jalan masuk ke tanah perkuburan itu mulai pukul 5 petang.
Beberapa ahli keluarga Allahyarham hanya melihat majlis pengebumian dari luar pagar tanah perkuburan.
Petugas media hanya dibenarkan membuat liputan pengebumian dari jarak kira-kira 200 meter.
Turut hadir Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.
Harussani, 82, meninggal dunia pada pukul 2 45 petang tadi setelah dirawat kerana positif Covid-19 di HRPB.