Jaring tidak setuju pekerja bot laut dalam guna warga asing - Utusan Malaysia

Jaring tidak setuju pekerja bot laut dalam guna warga asing

Industri perikanan laut dalam berdepan masalah kekurangan awak-awak- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) bimbang penularan wabak Covid-19 menjadi lebih buruk sekiranya pekerja bot laut dalam warga asing dibawa masuk semula ke negara ini.

Pengerusinya, Che Ani Mat Zain berkata, cadangan untuk mengerakkan operasi bot laut dalam menggunakan pekerja asing adalah tidak wajar ketika penularan wabak kembali meningkat.

“Kemasukan warga asing akan meningkatkan risiko jangkitan seterusnya menambah beban kepada petugas barisan hadapan khususnya kakitangan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dilaporkan meminta kerajaan mengkaji semula isu kekurangan pekerja asing bagi membolehkan sektor perikanan kembali pulih selepas terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Beliau berkata, bekalan ikan dan hasil laut di seluruh negara juga tidak banyak terjejas kerana nelayan tempatan masih dibenarkan ke laut. 

“Di sebalik berita kenaikan harga ikan dan hasil laut di sesetengah lokasi, komuniti nelayan di Kota Kuala Muda di Pulau Pinang dan Kedah terpaksa menjual hasil tangkapan seperti ikan kembung pada harga RM1 sekilogram.

“Malah, ada sebahagian yang terpaksa menjual hasil tangkapan tersebut kepada pengusaha sangkar ikan sebagai ikan baja. Mengapa perkara ini berlaku sedangkan ikan-ikan tersebut sepatutnya boleh dipasarkan ke seluruh negara,” ujarnya.

Justeru, pihaknya meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan merancang serta membangunkan semula industri perikanan negara melalui pendekatan yang lestari serta mampu menjamin bekalan hasil laut negara seperti yang digambarkan dalam draf Dasar Agromakanan Negara 2.0. 

“Kebergantungan kepada kru warga asing jelas akan menggugat jaminan bekalan hasil laut negara sekiranya wabak seperti Covid-19 berulang pada masa hadapan,” jelasnya.

Tambahnya, melihat kepada situasi itu, Jaring menolak cadangan kemasukan warga asing untuk kembali bekerja dalam sektor perikanan laut dalam.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya